utama

Pelakon Jepun nyanyi lagu raya [METROTV]

Oleh Mahaizura Abd Malik

IRAMA ceria lagu Selamat Hari Raya dendangan Saloma, memikat hati seorang pelakon Jepun, Mao Urata sebelum melakukan cubaan pertama menyanyikannya dalam versi remix.

Mao, 31, yang menetap di Tokyo mengakui tidak mahir berbahasa Melayu malah tidak pernah menjejakkan kaki ke Malaysia.

"Saya tidak pernah belajar bahasa Melayu tetapi hanya mendengar lagu itu berkali-kali daripada Youtube dan mula pelajarinya dari situ.

"Bagi saya kebanyakan lagu hari raya dimainkan di Malaysia hampir sama dengan melodi lagu popular Jepun pada era Showa, jadi sebab itulah saya rasa lagu-lagu ini terutama nyanyian Saloma begitu dekat dengan saya.

"Secara peribadinya saya suka lagu Saloma itu kerana iramanya ceria dan membuatkan saya rasa sangat gembira," katanya kepada Harian Metro.

Menurut pelakon siri Kamen Rider Zi-O (2018) itu, dia memilih lagu Saloma itu tiga minggu lalu untuk dinyanyikan bersama pakaian dihadiahkan kenalannya dari Malaysia.

"Kenalan saya menghantar sepasang kurung moden dari Malaysia sebagai hadiah kerana dia fikirkan pakaian itu sesuai dengan saya.

"Kebetulan ketika ini bulan puasa dan saya tahu ramai orang di Malaysia sedang mendengar lagu raya.

"Jadi, saya mencari lagu sesuai sebelum memilih lagu nyanyian Saloma kerana terpikat dengan melodinya," katanya.

Katanya, rakaman lagu itu juga dibuat khusus sempena mengisi mood Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.

"Saya mengambil masa seminggu membuat latihan. Memang sukar, tetapi saya amat berpuas hati dengan hasilnya biarpun nampaknya masih ada kekurangan.

"Ia cuma suka-suka sempena mood ketibaan Aidilfitri, tidak sangka rakaman yang dimuat naik di Facebook saya itu menjadi tular," katanya yang turut meminati lagu Rasa Sayang.

Disiarkan pada: June 3, 2019 @ 10:15pm
d