utama

'Suci dalam debu' biskut terakhir

Oleh Zuliaty Zulkiffli

“ARWAH minta saya belikan bijirin Nestum sebab nak sambung buat biskut, tetapi disebabkan sibuk, saya tak dapat tunaikan permintaannya menyebabkan dia pergi sendiri ke pasar raya di Pekan Jitra itu, kira-kira jam 10 malam tadi,” kata Mohd Ridzuan Mohd Khir, 37.

Mohd Ridzuan adalah abang sulung Siti Rofidah, 27, yang meninggal dunia malam tadi akibat tersangkut dawai kain rentang di simpang tiga pasar raya itu.

Katanya, tidak lama kemudian dia mendapat panggilan memaklumkan adiknya terbabit kemalangan.

Menurutnya, Siti Rofidah yang juga adik bongsu dari tiga beradik itu sempat menyiapkan biskut ‘Suci Dalam Debu’ kesukaannya, namun bijiran Nestum untuk disalut pada biskut habis.

“Ini kali pertama dia buat biskut, sebelum ini jarang kerana sakit. “Arwah sebelum ini bekerja sebagai jururawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) tetapi pulang bercuti tanpa gaji selepas dia menghidap penyakit kencing manis, buah pinggang serta penyakit misteri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong 6, Kampung Aman, Jitra, hari ini.

Mohd Ridzuan berkata, kali terakhir dia bertemu adik bongsunya selepas berbuka puasa kerana menghantar ketupat di rumah itu untuk arwah dan adik keduanya, Siti Rodziah, 33, yang diserang angin ahmar.

“Kami bertiga yatim piatu sejak ibu meninggal dunia pada 2010 akibat kencing manis manakala ayah pula meninggal pada 2015 kerana menghidap asma.

“Kini saya kehilangan adik pula iaitu sehari sebelum Aidilfitri. Namun, saya reda dengan apa berlaku,” katanya.

Mohd Ridzuan berkata, mereka sekeluarga sedang berbincang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pasar raya itu kerana cuai sehingga menyebabkan adiknya meninggal.

Jenazah Siti Rofidah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya jam 11.30 pagi tadi.

Sementara itu suami mangsa, Mohd Fazli Ariffin, 27, berkata, dia sangat teruja apabila dapat pulang untuk menyambut Aidilfitri bersama isteri di kampung.

Dia yang juga anggota tentera berkata, dia bertolak dari Kem Tentera Gemas, Negeri Sembilan selepas berbuka puasa dan sempat membuat panggilan video dengan arwah isterinya jam 7 malam.

“Ketika itu saya masih di Gemas dan arwah buat video untuk tunjuk kucing kesayangan kami yang dipanggil ‘abang’, namun kami berbual tidak sampai satu minit.

“Ketika dalam perjalanan pulang saya menerima panggilan daripada abang jam 1 pagi memaklumkan isteri terbabit, namun keluarga merahsiakan kematiannya bagi mengelakkan saya terkejut,” katanya.

Mohd Fazli berkata, isteri teruja menyambut Aidilfitri dan tidak sabar melaram dengan baju berwarna oren.

“Bagai mimpi apabila dimaklumkan isteri sudah tiada. Arwah isteri yang baik,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] MPKP siasat, tinjau lokasi pemasangan kain rentang

Jururawat maut terjerut tali kain rentang

Disiarkan pada: June 4, 2019 @ 5:15pm
d