utama

Tragis Suci Dalam Debu

Oleh Zuliaty Zulkiffli

PAGI Syawal sepatutnya diraikan dengan keceriaan namun duka yang hadir buat keluarga Siti Rofidah Mohd Khir, 27, di Kampung Aman, di sini selepas wanita itu meninggal dunia, kelmarin.

Pemergian mengejut jururawat terbabit ketika umat Islam sibuk melakukan persiapan akhir menjelang Aidilfitri nyata terlalu berat diterima keluarganya.

Hanya biskut Suci Dalam Debu yang menjadi buah tangan terakhir arwah untuk dijamah anggota keluarga.

Abangnya, Mohd Ridzuan, 37, berkata, arwah adalah adik bongsunya daripada tiga beradik dan menggemari biskut Suci Dalam Debu.

“Namun, inilah kali pertama dia membuat biskut itu dan sudah membakarnya sejak beberapa hari lalu sehingga kehabisan bijirin Nestum yang menjadi salah satu bahan membuatnya.

“Arwah ada meminta saya belikan Nestum kerana mahu menyambung buat biskut itu, tetapi saya sibuk dan tidak sempat menunaikan permintaannya.

“Jadi dia sendirian ke pasar raya itu di pekan Jitra dan keluar rumah kira-kira jam 10 malam tadi (kelmarin).

“Malangnya, tidak lama kemudian saya terima panggilan memaklumkan arwah kemalangan terlanggar dawai pengikat kain rentang di pasar raya itu,” katanya.

Katanya, arwah adiknya berkhidmat di Hospital Pulau Pinang namun mengambil cuti tanpa gaji selepas menghidap penyakit kencing manis dan buah pinggang.

“Disebabkan sakit, dia sudah jarang membuat kuih, tetapi kali ini mahu membuat biskut itu yang menjadi kesukaannya,” katanya yang memberitahu jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya jam 11.30 pagi semalam.

Siti Rofidah meninggal dunia selepas terlanggar dawai pengikat kain rentang yang melintang di atas jalan ketika menunggang motosikal dekat simpang tiga berhampiran sebuah pasar raya di sini, jam 10.15 malam kelmarin.

Mohd Ridzuan berkata, mereka sekeluarga berbincang mengambil tindakan undang-undang ke atas pasar raya itu kerana kecuaian menggantung kain rentang hingga menyebabkan adiknya meninggal dunia.

“Kami tiga beradik sudah yatim piatu sejak ayah meninggal dunia akibat asma pada 2015. Sebelum itu ibu meninggal dunia pada 2010 kerana kencing manis.

“Kini, saya hilang adik bongsu pula dan tambah perit apabila sehari lagi kita bakal menyambut hari raya. Bagaimanapun, saya reda dengan takdir ini,” katanya yang memberitahu kali terakhir bersama adiknya ketika menghantar ketupat selepas berbuka puasa.

Sementara itu, suami Siti Rofidah, Mohd Fazli Ariffin, 27, berkata, dia sangat teruja pulang ke kampung dan menemui isterinya selepas lama tidak bertemu kerana dia berkhidmat di Kem Tentera Gemas, Negeri Sembilan.

Dia yang bertolak pulang kira-kira jam 9 malam terkejut apabila dimaklumkan kematian arwah.

“Sekitar jam 7 malam sempat lagi kami buat panggilan video dan arwah menunjukkan kucing kesayangan kami dipanggil ‘abang’. Kemudian saya bertolak pulang dan jam 1 pagi, abang menelefon memberitahu isteri kemalangan.

“Saya tidak tahu lagi keadaan arwah sehingga tiba di rumah dan dimaklumkan dia sudah tiada,” katanya.

“Terasa bagai mimpi apabila dimaklumkan kehilangannya, namun mengenangkan isteri cukup menderita dengan penyakit dan keguguran anak sulung kami tahun lalu, saya reda,” katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2019 @ 8:00am
d