utama

Tarikan Bangla Market

Oleh Mohd Rizal Abdullah

SETIAP kali Aidilfitri atau cuti panjang pasti lokasi Jalan Silang berhampiran pasar raya Mydin atau sinonim dengan Bangla Market menjadi lokasi pertemuan warga Bangladesh berkumpul dan bertemu rakan senegara.

Bukan setakat warga Bangladesh, malah warga asing lain iaitu Nepal, Indonesia dan Vietnam turut kelihatan di kawasan berkenaan.

Seorang warga Bangladesh, Mohammad Abu Hassan,45, berkata, kawasan itu menjadi tempat pertemuan rakan-rakan senegaranya yang bekerja di kawasan berbeza.

“Apabila sebut Bangla Market, mereka sudah tahu dan akan berkumpul sebelum keluar secara berkumpulan untuk menghabiskan cuti perayaan,” katanya.

Pemilik kedai aksesori telefon di Jalan Silang itu berkata, sejak dulu, di sinilah tempat pertemuan rakan senegaranya sejak sekian lama.

“Kalau sebut tempat lain mereka tidak tahu, kalau sebut Bangla Market, kebanyakan mereka sudah tahu dan akan bertemu di sini,” katanya yang berkahwin dengan warga tempatan dua tahun lalu.

Katanya, mereka kebiasaannya akan menaiki bas menuju ke bandar berhampiran Kuala Lumpur antaranya Kajang dan Shah Alam atau berjalan sekitar Kuala Lumpur.

“Ada yang sekadar bertemu dengan rakan-rakan di sini, ada yang akan menuju ke tempat lain sebelum pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro juga mendapati sesuatu yang mengejutkan apabila melihat ribuan warga asing di kawasan berkenaan.

Semua bas RapidKL di hentian Jalan Silang juga sesak dengan warga asing dari jam 10 pagi sehingga jam 8 malam, meskipun pertambahan bas disediakan pihak bas RapidKL.

LAUTAN warga asing yang ‘membanjiri’ ibu kota terutama sekitar Lebuh Pudu dan Jalan Silang

Disiarkan pada: June 7, 2019 @ 6:40am
d