utama

Raya tanpa mak, tanpa ayah[METROTV]

Oleh Iskandar Shah Mohamed

“SELAIN menjadi peneman, mereka berdua adalah amanah yang akan dipikul sebaik mungkin sehingga ke akhir hayat," kata Suraya Sahar, 43.

Ibu tunggal itu kini menggalas tanggungjawab menjaga dua anak saudaranya, Mohd Danish Muhammad Zulhafiz, 3, dan Nurqaseh Damia Alisha berusia setahun yang menjadi yatim piatu selepas kematian ibu mereka akibat kanser paru-paru dan tibi, minggu lalu.

Lebih memilukan, dua insan tercinta kanak-kanak itu iaitu ibu, Nurshakirah, 24, dan bapa mereka, Muhammad Zulhafiz M Husaini, 22, masing-masing meninggal dunia ketika Ramadan.

Suraya berkata, Muhammad Zulhafiz yang juga adik iparnya meninggal dunia akibat kemalangan motosikal ketika mahu mengambil wang gaji di Banting pada 27 Mei tahun lalu.

“Pada waktu itu, adik bongsu saya (Nurshakirah) baru saja enam bulan melahirkan anak keduanya (Nurqaseh) dan turut mengetahui penyakit kanser dan tibi dihidapinya.

“Keadaan adik pada awalnya baik namun tubuhnya dilihat semakin kurus dan rambut juga mula gugur sebelum dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut, hujung bulan lalu.

“Pada 2 Jun lalu iaitu beberapa hari sebelum Aidilfitri, dia menghembuskan nafas terakhirnya di hospital berkenaan,” katanya sebak ketika ditemui Harian Metro di kediamannya di Taman Desa Permai 2, Meru, hari ini.

Menurutnya, dia masih berpegang kepada amanat terakhir arwah adiknya yang meminta supaya menjaga dua anak saudara sekiranya berkemampuan.

“Selain reda dengan ketentuan Ilahi, ia dianggap mempunyai hikmah di sebaliknya kerana saya juga hidup bersendirian selepas kematian suami akibat serangan jantung sejak 2007.

“Saya tidak dikurniakan zuriat dan mereka berdua memang sudah dianggap sebagai anak sendiri. Sudah ditakdirkan mereka menjadi yatim piatu pada usia kecil namun saya akan menjaga mereka selagi termampu,” katanya.

Kata Suraya, dia kini mengambil upah bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak dan berharap ia mampu menanggung perbelanjaan keluarga.

“Biar apa pun berlaku, saya akan berusaha untuk membesarkan dua anak saudara itu sehingga dewasa dengan bantuan keluarga dan saudara mara,” katanya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan dan meringankan beban keluarga itu menyalurkannya di akaun Maybank Suraya bernombor 112063023807 atau menghubunginya di talian 011-32315602/ 017-2256084.

Disiarkan pada: June 7, 2019 @ 4:18pm
d