utama

Paha Umairah digigit tikus

Oleh Ahmad Ismail

“SAYA tidak akan melupakan peristiwa ini seumur hidup,” kata Umairah Mohamad, 19, yang terpaksa menerima rawatan selepas paha digigit tikus yang menyelinap masuk ke dalam seluar jeans.

Katanya, dalam kejadian jam 4.30 petang, Jumaat lalu, dia baru saja turun dari kenderaan untuk menemani ibu membeli-belah di sekitar Taman Yayasan.

"Sebelum turun dari kenderaan, saya menyingsing bahagian bawah seluar jeans kerana bimbang terkena lopak air ," katanya ketika ditemui di kediamannya di Bandar Segamat Baru hari ini.

Katanya, sebaik beberapa langkah berjalan menuju ke sebuah kedai, dia terasa ada sesuatu merayap di betis kanan.

“Saya sangka cicak tetapi kemudian rasa paha perit dan pedih seolah dicakar kuku tajam.

“Saya segera masuk semula ke dalam kereta dan memeriksa sebelum terkejut melihat tikus sebesar ibu jari lelaki dewasa menggigit paha,” katanya.

Menurutnya, ibunya membantu menarik tikus itu namun  gigitan amat kuat sehingga melekat di kulit.

“Ibu memicit kepala tikus itu sehingga mati dan membawa saya ke Hospital Daerah Segamat (HDS) bagi mendapatkan rawatan.

“Saya diberikan rawatan dan suntikan oleh kakitangan perubatan sebelum dibenarkan pulang,” katanya.

Dia berkata, sebelum kejadian, dia sempat melihat kelibat seekor kucing berhampiran lokasi dan berkemungkinan tikus itu menyelinap masuk ke dalam seluarnya untuk menyelamatkan diri.

Sementara itu, Pengarah Hospital Daerah Segamat (HDS) Dr Mokhtar Ahmad berkata, wanita itu diberikan suntikan pencegahan kancing gigi sebelum dibenarkan pulang.

Disiarkan pada: June 9, 2019 @ 3:03pm
d