utama

'Saya tak sangka itu beruang matahari'

Oleh Najiy Jefri

“JALAN ketika itu gelap jadi saya sangkakan seekor anjing, tak sangka binatang itu adalah anak beruang matahari,” kata bekas peserta program realiti 'Rockanova', Zarith Sofia Yasin.

Penyanyi yang dikenali dengan gelaran Pia itu ditahan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) selepas didapati memelihara dan menyimpan seekor beruang matahari secara haram di kondominiumnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pia ketika dihubungi menjelaskan, dia tidak mempunyai niat untuk membela anak beruang itu sebaliknya merancang menghantar haiwan dilindungi itu kepada pihak berkuasa selepas keadaan beruang itu sihat.

“Sebenarnya, saya jumpa anak beruang itu di tepi jalan dalam keadaan lemah pada waktu malam di kawasan Bukit Ampang, Jalan Hulu Langat, bulan lalu.

“Jadi saya ambil keputusan membawanya pulang dan menjaga sehingga baik sebelum bercadang menghantarnya kepada pihak zoo dalam waktu terdekat.

“Namun tak sangka ia menjadi tular terlebih dulu. Saya mohon maaf atas apa yang berlaku. Saya tak sangka perkara ini menjadi satu isu besar,” katanya.

Menurutnya, sepanjang dua minggu menjaga beruang yang dinamakan Bruno itu, haiwan terbabit tidak bertindak agresif.

Dalam pada itu, Pia menafikan dakwaan bahawa dirinya ditahan PERHILITAN sebaliknya mereka memintanya untuk tidak memberikan sebarang kenyataan lanjut berhubung isu ini.

“Ini saja yang boleh saya kongsikan. Atas nasihat pihak PERHILITAN, saya diminta untuk tidak memberikan sebarang kenyataan terperinci mengenai anak beruang ini sehingga pihak mereka selesai menjalankan siasatan.

“Sehingga kini saya masih menunggu keputusan dan maklum balas daripada pihak PERHILITAN mengenai insiden yang berlaku ini,” katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2019 @ 4:21pm
d