utama

Budak lemas di tali air

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

“SEPATUTNYA kami sekeluarga bertolak balik ke Petaling Jaya, Selangor malam ini, selepas pulang berhari raya pada Jumaat lalu,” kata Wan Nor Azlina Wan Kamaruzzaman, 38.

Wan Nor Azlina adalah ibu kepada Muhammad Alif Zakwan Mohd Zulkirman, 9, yang ditemui lemas oleh orang awam di tali air di Kampung Takir Luar, Machang, pada 2.33 petang hari ini.

Katanya, ketika kejadian, anak ketiganya Muhammad Alif Zakwan keluar bersama kakaknya, Noralia Natasya, 15, serta dua sepupu mereka.

“Saya dimaklumkan mengenai kejadian itu, selepas dihubungi salah seorang sepupu mereka dan saya yang ketika itu membeli barang keperluan di bandar Machang bergegas pulang.

“Ketika sampai di tali air, orang kampung sedang mencari anak saya dan jasadnya ditemui pada 3 petang sebelum pasukan bomba dan penyelamat sampai.

“Saya difahamkan arwah bermain di tepi tali air itu dan secara tiba-tiba dikatakan terjatuh dan kakak serta sepupunya cuba untuk menyelamatkannya. Namun gagal kerana arus air yang terlalu deras. Dalam masa sama, arwah juga tidak pandai berenang,” katanya.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Machang, Zulkifli Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.33 petang dan tiba di lokasi 20 minit kemudian.

“Seramai enam anggota daripada BPP Machang bergegas ke lokasi kejadian, namun sebaik tiba, mangsa sudah dijumpai oleh orang awam dan dibawa ke Hospital Machang.

“Bagaimanapun, ketika kami sampai di hospital, difahamkan mangsa sudah meninggal dunia dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Katanya, siasatan mendapati, pada awalnya mangsa sudah dilarang oleh kakaknya daripada terjun ke dalam tali air berkenaan sebelum mangsa dihanyutkan arus deras.

“Menyedari mangsa lemas, kakaknya pulang ke rumah untuk meminta bantuan dan bapanya bergegas ke lokasi kejadian serta menemui jasad anaknya itu pada jarak sejauh 200 meter dari lokasi mangsa dipercayai lemas.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati kedalaman air lebih kurang dua meter,” katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2019 @ 10:01pm
d