utama

Suhu Rembau -4 Celsius

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

“MENDENGAR mereka bergelak ketawa dan melangkah keluar dengan senyuman, itu yang buat saya puas hati,” kata pengusaha rumah salji di Kampung Batu Nunggul.

Mohd Khairul Azman Mustakim, 31, yang menjalankan perniagaan makanan sejuk beku mengambil inisiatif membina rumah salji bersebelahan premis perniagaannya itu untuk memberi peluang kepada penduduk kampung merasai musim sejuk seperti di negara luar.

Menurutnya, rumah salji menggunakan bilik sejuk pada suhu -4 darjah Celsius dan bersaiz 225 kaki persegi itu mampu memuatkan 10 kanak-kanak pada satu masa.

“Kerja seharian bermain dengan ais kerana membekalkan makanan sejuk beku seperti daging lembu, kambing dan ayam membuatkan saya menyimpan hasrat untuk buat rumah salji, tiga tahun lalu.

“Secara kebetulan, ada seorang rakan menutup perniagaan dan menjual bilik sejuk beku. Saya terus teringat mengenai impian saya itu lalu membelinya.

“Saya beritahu rakan saya itu mengenai impian terbabit dan dia hairan serta tidak percaya.

“Dengan modal RM25,000, saya berjaya membina rumah salji dan mula dibuka kepada orang ramai pada Mac lalu. Saya namakannya sebagai rumah salji kampung,” katanya.

Mohd Khairul berkata, walaupun rumah salji yang dibina itu kecil tidak seperti rumah salji di taman tema di ibu kota tetapi dia berpuas hati kerana dapat memberi peluang kepada penduduk kampung bermain salji.

“Saya sendiri tidak berpeluang ke luar negara untuk bermain salji, jadi saya buat di kampung ini sekurang-kurangnya orang kampung dapat rasa.

“Apabila pelanggan datang, saya beritahu mereka ini rumah salji kampung tidak seperti di bandar kerana bimbang mereka tidak puas hati.

“Alhamdulillah, kebanyakan pelanggan gembira selepas merasainya sendiri dan menyokong usaha saya ini,” katanya yang mengenakan bayaran RM15 untuk kanak-kanak dan RM5 bagi orang dewasa.

Menurutnya, dia tidak menyangka rumah saljinya itu tular di laman sosial Facebook sehingga ada pelanggan datang dari Putrajaya, Selangor, Melaka dan Johor Bahru.

Bukan untung yang dikejar sebaliknya Mohd Khairul berkata, kepuasan pelanggan dan niat beri peluang kepada orang kurang berkemampuan sepertinya merasai salji tercapai.

Katanya, dia memperuntukkan RM1,000 sebulan untuk kos penyelenggaraan dan kini merancang membesarkan lagi rumah salji itu selain mendapatkan mesin ais yang boleh mengisar ais menjadi halus seakan salji yang sebenar.

Disiarkan pada: June 10, 2019 @ 6:15am
d