utama

Beraya di kebun

Oleh Ahmad Ismail

SEGAMAT: Seorang pekebun durian sanggup ‘berhari raya’ di pondok duriannya di Jementah di sini, sejak hari raya Aidilfitri lalu bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Walaupun cuti persekolahan dan musim perayaan tamat, Samsuri Ahmad, 53, tidak menang tangan bagi memenuhi permintaan pelanggan terutama warga kota yang pulang ke kampung halaman.

Samsuri berkata, dia beraya di pondok durian di kebunnya berikutan buah durian mulai gugur beberapa hari sebelum Aidilfitri lalu.

Dia yang juga peraih durian berkata, secara kebetulan jumlah durian yang gugur semakin banyak sejak malam Aidilfitri lalu.

“Sebelum ini putik durian agak berkurangan susulan musim panas berpanjangan sejak Januari hingga April lalu.

“Sepatutnya putik durian matang dua bulan sebelum Ramadan dan digantikan dengan putik baru, namun putik pertama itu gugur akibat panas melampau,” katanya.

Menurutnya, 400 pekebun kecil di daerah ini menikmati musim durian hampir serentak pada minggu hari raya.

“Pada waktu puncak, kutipan durian di Jementah mampu mencecah ratusan tan setiap hari dan diambil peraih untuk dieksport ke Singapura selain dihantar ke Pahang, Johor Bahru dan Selangor.

“Bagi musim durian kali ini, saya dapati kualiti durian agak merosot. Isi durian Musang King tidak setebal biasa dan mudah merekah, mungkin akibat cuaca panas.

“Disebabkan kualiti kurang baik, harga jualan ketika ini lebih murah berbanding harga biasa,” katanya.

Menurutnya, durian kampung turut menjadi pilihan pelanggan sebelum pulang ke bandar selepas bercuti di kampung sempena hari raya.

Katanya, ketika ini adalah tempoh jualan murah bagi buah durian kurang berkualiti.

“Dalam tempoh tiga hingga empat minggu akan datang, durian berkualiti dijangkakan bertambah di pasaran,” katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2019 @ 5:30am
d