utama

Minah Saleh 'terer' cakap utara [METROTV]

Oleh Zuhainy Zulkiffli

JIKA Daniel Tyler atau Mat Dan dikenali kerana fasih bertutur loghat Terengganu, Rita Kalsom Rafi dari England pula boleh bercakap loghat Pulau Pinang.

Wanita berusia 35 tahun itu menjadi terkenal selepas beberapa video yang menunjukkan Rita Kalsom bertutur dalam loghat Pulau Pinang tular sejak beberapa hari lalu.

Rita Kalsom berkata ibunya, Che Nu Buang 68, berasal dari Kampung Perlis, Balik Pulau dan berkahwin dengan warganegara England serta dikurniakan tiga anak.

Katanya, dua lagi adik beradiknya, Yusef, 31 dan Nadia, 38, juga fasih dalam loghat utara itu, malah mereka lebih gemar berbual dalam loghat terbabit.

“Setiap kali saya pulang dari England ke Balik Pulau, banyak perkara yang mahu saya ceritakan kepada nenek tapi dia tidak tahu berbahasa Inggeris lalu saya tekad bagi belajar bahasa Melayu.

“Malah, ketika berbual atau bertanyakan sesuatu dengan ibu dalam bahasa Inggeris, dia menjawab dalam bahasa Melayu dan daripada situ saya mempelajarinya,” katanya yang bekerja sebagai jurulatih peribadi itu ketika ditemui, di Georgetown, hari ini.

Mengulas lanjut, Rita berkata ramai yang ingin mengenalinya dengan lanjut selepas video yang dimuat naik kenalannya di Facebook (FB) menjadi tular.

Katanya, pada mulanya, dia tidak tahu tujuan video itu diambil dan hairan berikutan ramai yang mahu menambah kenalan di Facebooknya.

“Saya gemar dengan makanan tempatan seperti lemang, rendang, cendol dan nasi kandar malahan boleh memasak beberapa masakan tempatan seperti rendang daging dan ayam masak merah.

“Saya juga lebih suka pulang ke Pulau Pinang pada musim durian kerana mahu menikmati keenakan raja buah itu,” katanya lagi.

Terdahulu, Rita Kalsom ditemui di rumah keluarga angkatnya di Sungai Ara, dekat Georgetown, dan ia adalah kali pertama dia menyambut Aidilfitri dengan keluarga berkenaan selepas terpisah sejak berusia 10 tahun.

Menurut kakak angkatnya, Noor Aliza Che Mat, 48, dia mengenali Rita Kalsom ketika menjalani latihan praktikal sebagai guru di Sekolah Convent Lebuh Light, Georgetown dan Rita Kalsom baru berusia 10 tahun.

Katanya, hubungan mereka seperti ibu dan anak namun tidak lama kemudian Rita Kalsom dibawa bapanya menetap ke England.

Selepas itu, hubungan mereka terputus dan Rita Kalsom pernah mengutus surat kepada Noor Aliza, namun surat terbabit dipulangkan berikutan Noor Aliza sudah berpindah.

“Memang sudah lama kami cuba menjejaki Rita Kalsom namun tidak berjaya sehinggalah pada November tahun lalu, saya meminta anak supaya mencarinya di FB dan syukur, dia juga masih mengingati kami dan kami berjumpa ketika dia pulang ke Pulau Pinang April lalu.

“Rita Kalsom pernah berkata tidak memilih jodoh orang tempatan atau sebaliknya, tetapi jika dengan orang tempatan dapatlah dia tinggal dekat dengan ibunya,” katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2019 @ 8:00pm
d