utama

Tiada lagi tangisan

Oleh Alias Abd Rani

HANYA mampu menggerakkan jari dan kelopak mata. Itu perkembangan terbaru Nur Syifaa Auni, bayi berusia 13 bulan sekiranya mahu meminta sesuatu daripada ibu bapa mereka selepas kepalanya semakin membesar setiap hari.

Nur Syifaa Auni yang mengidap Hydrocephalus atau penyakit lebihan cecair dalam kepala sejak lahir yang menyebabkan kanak-kanak itu terlantar sepanjang masa selain hanya bergantung kepada susu yang diberikan melalui tiub.

Bapanya, Yaakob Abd Rahim, 39, berkata, anak keempat daripada lima beradik itu aktif ketika usia satu hingga tiga bulan namun disebabkan penyakit dihidapi, tangisannya tidak lagi didengari.

“Tidak seperti kanak-kanak normal yang lain, Nur Syifaa Auni mengalami keadaan di mana ada organ tertentu tiada dalam kepalanya yang menyebabkan semakin membesar.

“Kalau dahulu, kami ada juga terdengar tangisan jika mahu susu atau sebagainya, tapi kini, dia hanya mampu menggerakkan jari atau kelopak mata.

“Jadi, jika situasi ini berlaku (menggerakkan jari atau kelopak mata), saya atau isteri, Safia Nasir, 34, faham akan permintaannya,” katanya.

Terdahulu, Yaakob dikunjungi Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo bersama kakitangan sebuah agensi kementerian terbabit, MyNIC yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MyNIC, Datuk Hasnul Fadhly Hasan.

Menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) #MyNICCARES Ceriakan Syawal Bersama MyNIC’, kunjungan itu antara lain menyantuni mereka kurang bernasib baik sekitar Puchong sempena Aidilfitri.

Dilahirkan secara pembedahan dengan berat 3.6 kilogram (kg) dan lilitan kepala 42 sentimeter (sm) kini, saiz kepalanya semakin membesar kepada 83sm dengan berat mencecah lebih 15kg.

Sementara itu, Yaakob berkata, penyakit dihidapi Nur Syifaa Auni dikenal pasti sejak dalam kandungan.

Tambahnya, keadaan semakin ketara ketika kandungan mencecah empat bulan dan selepas dilahirkan, anaknya tidak mempunyai bebola mata.

“Saya akanmembawa Nur Syifaa Auni menjalani terapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Cuma saya kasihan kerana perlu mengangkatnya perlahan-lahan kerana darah akan keluar melalui kepala,” katanya.

Disiarkan pada: June 12, 2019 @ 6:05am
d