utama

4 beranak berbasikal balik raya

Oleh Iskandar Shah Mohamed

“SELAIN menerapkan budaya hidup sihat dengan berbasikal, niat kami bertujuan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan ukhuwah bersama pengguna jalan raya lain,” kata Abdul Rahim Mahmudin, 55.

Keluarga petani itu menjadi tular di media sosial apabila mereka pulang beraya dengan mengayuh basikal sejauh lebih 100 kilometer (km) dari Kapar di sini, sehingga ke Sabak Bernam, minggu lalu.

Abdul Rahim berkata, idea itu tercetus selepas melihat budaya rakyat Indonesia dikenali sebagai mudik lebaran iaitu berbasikal pulang menyambut Aidilfitri di kampung halaman mereka.

“Saya kemudian berbincang dengan isteri (Norazridza Ahmad Zahri, 40) dan dia bersetuju balik kampung dengan mengayuh basikal.

“Alhamdulillah, perjalanan kami selama 12 jam bermula jam 8 pagi bersama dua anak perempuan berusia 14 dan 12 tahun serta seorang rakan pada hari raya kedua (Khamis lalu) berjalan lancar.

“Perjalanan pulang semula dari Sepintas, Sabak Bernam ke Kapar pada Sabtu lalu juga lancar dan kami lebih kepada kayuhan secara santai dengan berhenti di setiap daerah,” katanya ketika ditemui Harian Metro di kediamannya di Kampung Perepat, Kapar di sini, semalam.

Menurutnya, dia menyedari wujud segelintir netizen menyelar tindakan itu yang antaranya menyebabkan kesesakan jalan raya.

“Namun, kami hanya berniat baik iaitu turut mahu menerapkan kesedaran mengenai pengurangan penggunaan kenderaan lain termasuk ketika mahu pulang beraya.

“Selain itu, kami sudah melakukan persiapan rapi sebelum memulakan perjalanan terutama pemeriksaan tayar dan alat ganti basikal bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” kata pengembara berbasikal itu.

Kata Abdul Rahim, dia dan isteri sememangnya mempunyai pengalaman berbasikal dalam pengembaraan di sekitar Indonesia sebelum ini.

“Kami mengutamakan faktor keselamatan sepanjang perjalanan dan hanya mengayuh di jalan biasa, bukannya di lebuh raya.

“Apa yang penting adalah disiplin dan jati diri pengayuh basikal itu supaya mematuhi peraturan jalan raya serta keselamatan mereka,” katanya yang turut menganjurkan program kembara berbasikal di dalam dan luar negara.

Disiarkan pada: June 13, 2019 @ 6:05am
d