utama

Perginya ikon Pop Yeh Yeh

Oleh Norhayati Nordin

MENCEBURI bidang nyanyian ketika remaja, siapa sangka Allahyarham Datuk A Rahman Hassan berjaya mempertahankan legasi seninya selama lima dekad. A Rahman yang mendapat pendidikan awal di sekolah St Joseph, Jalan Abdul Rahman Andak, Johor Bahru itu cukup mahir bermain gitar.

Pada era pop yeh yeh sekitar 60-an, A Rahman muncul dengan kugiran Orkes Nirwana Johor Bahru (ONJB) yang ditubuhkan pada 25 Mac 1965.

ONJB membariskan enam anggota iaitu dirinya sebagai pemimpin, penyanyi, pencipta lagu dan pemain gitar utama manakala isterinya, Allahyarham Datin Azizah Mohamad bertindak selaku vokalis. Selain itu, E Elias menggalas tanggungjawab sebagai pemain gitar bes, B Badrun (gitar), A Rozie Ashari (tamborin) dan M Radzi Jamil (dram).

ONJB popular dengan deretan koleksi lagu pop yeh yeh antaranya Tak Mengapa, Syurga Idaman, Pergilah Kandaku dan Dikaulah Harapan.

Lagu Tak Mengapa menjadi malar segar hingga kini dan pernah dirakam semula oleh kumpulan hip hop R&B, VE dan Kristal (2006).

Selain itu, ONJB juga mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records pada 2015 sebagai kumpulan pop yeh yeh paling lama bertahan iaitu setengah abad.

Tempoh lima dekad bertahan tanpa perpecahan ahli adalah pencapaian sangat membanggakan pernah dicapai A Rahman selaku pengemudi ONJB.

Sempena meraikan ulang tahun Ke-50 pada 2015, ONJB mendapat peluang menjayakan konsert istimewa mereka di Istana Budaya (IB).

Pencapaian lain A Rahman, beliau dilantik sebagai Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Pencipta Lagu Tanah Air (PAPITA) pada 1986. Sebagai ikon penyanyi Melayu era 60-an dan 70-an serta popular dengan dendangan lagu berentak pop yeh yeh, Allahyarham juga pernah memenangi Anugerah Tokoh Kepimpinan Industri Muzik dalam Anugerah Kecapi Papuita pada 2006.

Bertemu jodoh dengan Azizah, pasangan sejoli itu dikurniakan tiga cahaya mata lelaki iaitu Khairulizam, Khairulilmi dan Khairulazmi.

Azizah menyahut panggilan Ilahi pada 26 April 2013 akibat kanser pangkal rahim, diikuti Khairulilmi pada 2016 juga kerana barah.

Bagaimanapun, Allahyarham berkahwin kali kedua dengan pelakon Datin Fadilah Mansor, 59, pada 25 Disember 2014.

Terdahulu, A Rahman disahkan meninggal dunia di sisi keluarga jam 12.40 malam kelmarin semalam akibat strok dan pendarahan otak di Hospital Ampang.

Jenazah A Rahman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat selepas solat Zuhur, semalam.

Allahyarham dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang pada 10 Jun lalu selepas pitam di sebuah stesen minyak di Ampang.

Kejadian berlaku jam 10 malam itu menyaksikan A Rahman diselamatkan serta dihantar ke hospital menaiki ambulans.

Disiarkan pada: June 14, 2019 @ 5:00am
d