utama

Mahu butiran lanjut

Oleh Reuters

TORONTO: Ottawa tiada perancangan untuk menerima semula sisa plastik dari negara itu yang disimpan di Malaysia, kata jurucakap Kementerian Alam Sekitar Kanada.

Hujung bulan lalu, kerajaan Malaysia berkata ia akan menghantar semula 3,000 tan sisa plastik ke 14 negara asal termasuk Kanada, Amerika Syarikat, Jepun, Perancis, Australia dan Britain.

Dalam kenyataan yang dihantar melalui e-mel kepada Reuters, Jurucakap Kementerian Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Gabrielle Lamontagne berkata: “Tiada perancangan untuk kerajaan Kanada menerima semula sisa yang berada di Malaysia.”

Menurutnya, Kanada tidak menerima sebarang maklumat mengenai penghantaran sisa plastik dari Kanada ke Malaysia dan berkata kementerian berkenaan kini cuba mendapatkan butiran lanjut daripada Malaysia.

Tiada maklumat mengenai berapa banyak daripada sisa plastik berkenaan berasal dari Kanada.

Sisa buangan dari negara asing menjadi isu yang mencetuskan ketegangan diplomasi sejak beberapa bulan lalu di Asia Tenggara.

Filipina memanggil pulang diplomatnya di Kanada pada Mei lalu berhubung sisa buangan isi rumah yang dilupuskan secara haram dari negara itu yang tidak dihantar pulang ke Kanada menjelang tarikh ditetapkan.

Kerajaan Kanada bulan lalu mencapai persetujuan dengan Manila untuk mengambil semula sisa buangan isi rumah terbabit yang dijangka sampai ke Kanada lewat bulan ini.

Awal minggu ini, Kanada mengumumkan perancangan untuk mengharamkan plastik kegunaan tunggal seperti straw, beg dan kutleri pada awal 2021 untuk mengurangkan sisa tidak boleh dikitar semula seterusnya melindungi lautan.

Disiarkan pada: June 15, 2019 @ 5:30am
d