utama

3 beranak dipercayai bersekongkol dera budak

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

TIGA beranak, termasuk remaja ditahan selepas dipercayai melakukan penderaan terhadap dua kanak-kanak di rumah mereka di Pusat Bandar Puchong, Serdang semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu, pada 12.48 tengah hari.

Menurutnya, sejurus menahan ketiga-tiga suspek, pihaknya menyelamatkan dua kanak-kanak terbabit, iaitu budak lelaki dan perempuan yang masing-masing berusia lapan serta tujuh tahun.

Katanya, kedua-dua mangsa mengalami kesan dera hampir di seluruh badan, selain kekurangan zat makanan.

“Suspek yang ditahan seorang lelaki berusia 33 tahun dan bekerja sebagai penghantar gas, manakala isterinya berusia 30 tahun dan anak perempuan pasangan terbabit berusia 13 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut di rumah suspek, polis menemui satu kayu cota, satu garpu perak dan sebatang paip getah keras yang dipercayai digunakan untuk mendera mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismadi berkata, kedua-dua mangsa tinggal bersama keluarga suspek yang juga saudara mereka sejak tujuh tahun lalu selepas ibu bapa mereka bercerai.

“Kedua-dua mangsa kini dirawat di Hospital Serdang bagi pemeriksaan lanjut.

“Perintah reman ke atas kesemua suspek pula akan dipohon mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Petaling Jaya esok dan siasatan lanjut sedang diteruskan,” katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2019 @ 12:42am
d