utama

Tak hidup dek puji

Oleh Rudy Imran Shamsudin

SEPANJANG lapan tahun membabitkan diri dalam industri seni banyak onak duri harus dilalui Janna Nick. Walaupun punya pengaruh besar apabila ada hampir lima juta pengikut di laman sosial Instagram, pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Jodoh musim pertama itu tidak dapat lari daripada kritikan.

Benarlah kata orang, tidak semua pengikut di laman sosial suka dan sayang. Selain pujian, kata-kata kejian turut menjadi ‘makanan’ selebriti seperti Janna.

Menariknya, Nurul Jannah Muner dilihat kebal. Tidak satu pun kritikan yang dilemparkan itu mampu mematahkan semangatnya.

Sepanjang pembabitannya dalam dunia seni banyak kritikan diterima. Walaupun single dihasilkan Mungkin Saja dan Akan Bercinta popular, kemampuannya menyanyi secara langsung dipertikai ramai.

Begitu juga di awal kemunculannya mengendalikan program Melodi bersama Ajak, ramai mendakwa pelakon kelahiran Sungai Petani, Kedah itu tidak mempunyai bakat sebagai pengacara.

Terbaru, apabila dia muncul dengan watak Rania menerusi drama bersiri Bukan Cinta Aku, ramai membandingkan persembahannya dengan watak dijayakan dalam drama bersiri Cari Aku Di Syurga yang mencatat jumlah tontonan tinggi dan ‘trending’.

Sebelum ini, kelantangan pemenang anugerah Pelakon Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular BH ke-30 dan 31 itu menjawab segala kritikan di laman sosial turut menjadi isu dalam kalangan pemerhati industri seni.

Berbicara mengenai perkara itu, Janna berkata dia berpegang pada pepatah tak hidup dek puji, tak mati dek keji.

“Apa sahaja kritikan saya jadikan pembakar semangat untuk terus berada dalam industri. Suka atau tidak saya perlu bertahan dalam bidang ini kerana ini periuk nasi saya,” katanya.

Berkongsi rahsia kekal kental kata Janna dia melihat kritikan secara positif.

“Walaupun kritikan itu menyakitkan hati, saya kena fikir apa kesannya jika ambil berat dan apa akan jadi pula kalau tidak ambil pusing. Saya yakin peminat kritik kerana mereka sayang dan ambil berat.

“Sebagai selebriti kita tidak boleh ego hingga tidak boleh ditegur langsung. Mungkin orang ingat saya tak peduli apabila dikritik tetapi hakikatnya saya mengkaji dan meneliti apa kekurangan diri.

“Dengan cara itu saja saya boleh jadi lebih baik. Dan, itu juga cara saya terus hidup sebagai artis kerana saya memang cintakan industri,” katanya.

Sambung Janna, meskipun sudah lapan tahun mencanai bakat dia masih berasakan cetek ilmu dan perlu banyak belajar.

“Saya belum layak menggelar diri anak seni kerana sejujurnya dalam tempoh lapan tahun ini apa yang saya buat adalah mencari rezeki,” katanya.

Menyentuh mengenai kritikan lakonannya sebagai Rania dalam drama Bukan Cinta Aku, Janna menegaskan terlalu awal penonton menjatuhkan hukuman kerana karakter itu sebenarnya ada banyak warna dan sangat mencabar untuk dizahirkan ke layar kaca.

“Saya yakin naskhah Erma sangat bagus dan impak aspek lakonannya sama seperti Ezad.

“Kalau hendak diikutkan Cari Aku di Syurga dulu pun episod awal tak dapat perhatian sangat. Hinggalah di pertengahan episod baru penonton mula suka dan jatuh cinta hingga karya itu jadi viral.

“Bukan Cinta Aku pun bagi saya akan dapat perhatian serupa kerana jalan ceritanya sangat bagus. Umum tahu karya Erma memang bagus. Karakter Rania di awal dan pertengahan cerita berbeza.

“Ia ada graf tersendiri. Penonton kena tengok drama ini dari awal hingga akhir, baru nampak permainannya. Watak Rania sangat susah dan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton sekiranya betul-betul menghayati,” katanya.

Rapat dengan Erma Fatima

Kebelakangan ini bukan lagi rahsia apabila umum sedia maklum Janna semakin rapat dengan Erma Fatima dan turut memanggil pengarah dan penerbit prolifik itu dengan panggilan mama.

“Saya akui ia benar malah banyak detik kami bersama yang tidak berlaku di tempat lain. Mama Erma banyak beri saya ilmu dan peluang. Saya hargai peluang diberikan dan saya panggil dia dengan panggilan Mama Erma kerana rasanya semua orang panggil dia dengan panggilan itu terutama angkatan muda sebaya saya.

“Walaupun saya dan Mama Erma rapat tetapi hubungan kami ada batasan. Kami rapat hanya waktu kerja, di luar waktu kerja tak berhubung sangat.

“Orang kata saya sekarang anak emas dan hak eksklusif produksi milik Erma, Karya Citra. Apa yang diperkatakan itu tidak benar. Bayangkan, dua tahun kami menanti untuk bekerjasama memandangkan jadual kerja saya sangat padat.

“Bagaimanapun akhirnya saya dapat bekerja di bawah karyawan agung Erma Fatima menerusi drama Bukan Cinta Aku,” katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2019 @ 6:30am
d