utama

Imigresen tak beri muka

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

GADAI nyawa dengan bergayut di balkoni tingkat lapan sebuah pangsapuri bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Itu antara tindakan nekad beberapa warga asing mendiami pangsapuri di Taman Sepakat Indah, Kajang ketika diserbu anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) malam kelmarin.

Bagaimanapun, cubaan itu sia-sia apabila mereka ditangkap JIM berikutan keletihan selepas hampir satu jam ‘melekat’ di balkoni berkenaan.

Operasi bermula jam 10.30 malam itu dianggotai 96 pegawai JIM dibantu 14 pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan lima Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi itu digerakkan hasil maklumat dikongsi persatuan penduduk.

“Kami menahan 90 warga asing membabitkan 78 warga negara Nigeria, Pakistan (1), India (1), Filipina (6) serta empat kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun.

“Mereka (warganegara Nigeria) didapati membuat bising, mabuk serta menimbulkan rasa tidak selesa kepada penduduk tempatan,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan yang ditahan melakukan kesalahan memiliki pas tamat tempoh, tiada dokumen pengenalan diri dan menjalankan perniagaan.

Pihaknya terpaksa memecahkan pintu pangsapuri selepas tidak mendapat kerjasama dari warga asing yang dipercayai menjalankan kegiatan penipuan.

“Kami mendapati, ada sebahagian warga asing menjalankan kegiatan penipuan terhadap warga tempatan susulan penemuan komputer riba yang memaparkan maklumat mencurigakan.

“Pihak kami akan terus menjalankan operasi seperti ini secara lebih agresif kerana rakyat tempatan tidak selesa dengan kehadiran warga asing ini yang menimbulkan kacau ganggu,” katanya.

Dalam serbuan berasingan, JIM turut menahan 40 warga asing di Puchong, Selangor.

Semua tahanan dibawa ke lokap JIM Putrajaya sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen di Bukit Jalil atau Semenyih, Selangor.

Dalam operasi itu, seorang anggota penguat kuasa cedera pada bahagian dada akibat pergaduhan kecil ketika operasi bersepadu malam semalam.

Operasi bersepadu memerangi warga Nigeria dilakukan susulan wujud banyak kejadian jenayah dilaporkan di negara ini. Meskipun JIM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sering membuat serbuan, namun kehadiran mereka dilihat semakin membimbangkan.

Mereka dipercayai terbabit sebagai pengedar dadah, ahli sindiket penipuan serta pergaduhan.

Sebelum ini, seorang lelaki Nigeria didakwa di Mahkamah Majistret Sepang atas tuduhan membunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin yang mayatnya ditemui dalam unit kondominium dekat Cyberjaya, pada 15 Mei lalu.

Disiarkan pada: June 16, 2019 @ 9:30am
d