utama

Ajal dirempuh pemandu khayal [METROTV]

Oleh Shamsul Munir Safini

WANITA penjaja nasi lemak maut apabila gerainya dirempuh kereta dipandu seorang lelaki di bawah pengaruh dadah.

Dalam kejadian 9 pagi hari ini, mangsa Roslinda Mohamad Isa, 44, bersama suaminya, Mat Subri Saad, 44, berniaga di tepi Jalan Bertam Indah arah Bertam berhadapan Masjid Al Taqwa, Kepala Batas.

Difahamkan, kereta jenis Proton Iswara dipandu seorang lelaki terbabas sebelum merempuh gerai jualan dan kedua-dua mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, rempuhan itu menyebabkan suami isteri terbabit tercampak lebih empat meter dan parah.

“Kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk mendapatkan rawatan, namun Roslinda disahkan meninggal dunia ketika dirawat.

“Susulan kejadian itu, pemandu kereta berusia 31 tahun yang juga lelaki warga tempatan ditahan untuk siasatan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing lelaki berkenaan positif ganja.

Katanya, orang ramai yang berada di lokasi kejadian mendakwa pemandu berkenaan berada dalam keadaan mabuk selain penemuan tin minuman keras di dalam kereta dipandunya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2019 @ 3:02pm
d