utama

Boyzone tamat riwayat

Oleh Georgie Joseph

SELEPAS 26 tahun menghidupkan Boyzone, empat anggotanya Ronan Keating, 40; Shane Lynch, 41; Keith Duffy, 42, dan Mikey Graham, 45, akhirnya memutuskan untuk menamatkan ‘riwayat’ boyband popular dari Ireland itu.

Keputusan itu bukanlah mudah memandangkan ia menoktahkan legasi dibina selama ini.

Mereka pasti masih bergelar legenda dalam dunia muzik, namun sayangnya tidak lagi bersama.

Ronan yang juga ketua kumpulan dalam temu bual bersama RAP berkata, mereka tidak menyesal membubarkan Boyzone.

Bagi mereka, pencapaian sepanjang karier sudah membuktikan betapa kenangan itu paling terindah.

“Sudah tiba masanya kami berundur sebagai satu kumpulan memandangkan masing-masing mempunyai komitmen sendiri yang jauh lebih penting. Boyzone pun sudah bergerak jauh dalam industri muzik. Tiada penyesalan sebaliknya kami sangat bersyukur dikurniakan karier yang terbaik selama 26 tahun. Bukan saja dari segi muzik tetapi setiap aspek lain termasuklah persahabatan antara kami.

“Apapun, paling dirindui selepas ini adalah peminat. Hubungan antara kami dengan peminat sangat istimewa di mana muzik Boyzone menjadi sebahagian daripada hidup mereka,” katanya.

Ronan berkata, mereka tidak akan pernah lupa setiap jasa yang diberikan semua pihak sepanjang karier Boyzone. Baik komposer hinggalah peminat, mereka menghargai setiap sumbangan mereka.

“Kami sangat bersyukur dengan segala apa yang diterima sepanjang karier kami. Tiada apa yang kurang sebaliknya kami menerima lebih daripada apa kami layak.

“Jujur, selepas ini tidak mungkin kami akan kembali bergabung lagi selepas memutuskan untuk berpecah. Namun itu untuk kebaikan semua di mana selepas ini masing-masing sudah boleh beralih kepada agenda peribadi,” katanya.

Kumpulan itu turut berkongsi kesedihan yang masih bersarang dalam diri mereka berikutan kematian rakan anggota Stephen Gately pada 2009.

Jelas, mereka tidak pernah melupakan sahabat mereka itu dan tetap menganggapnya masih bersama Boyzone.

“Segalanya berubah selepas Stephen meninggalkan kita semua. Memang terasa sangat disebabkan mendiang adalah sahabat yang sangat baik dan kehilangannya membuatkan Boyzone kekura­ngan sesuatu.

“Bagaimanapun, kami sentiasa menyematkan dia dalam hati dan hakikatnya mendedikasikan setiap konsert buatnya. Kami tahu dia sentiasa berada dengan kami di setiap persembahan dan kami memang rindukan dia,” katanya.

Turut melancarkan album terakhir berjudul Thank You And Goodnight pada November lalu, Boyzone juga mengambil pendekatan berbeza dengan hala tuju album terbabit.

Menurut Ronan, mereka langsung tidak merasakan sebarang kesedihan sepanjang proses rakaman sebaliknya lebih banyak mengimbau kenangan bersama. Mereka tidak mahu tewas dengan emosi demi menghasilkan album penutup tirai itu.

“Tiada rasa sedih langsung sebaliknya kami masing-masing teruja dengan apa yang menanti di hadapan kami. Memang seronok sangat apabila dapat kembali ke studio bersama di mana kami ambil kesempatan itu untuk eratkan semula persahabatan.

“Kami juga memutuskan untuk tampil dengan hala tuju yang sangat berani untuk album itu. Kalau anda dengar lagu-lagunya, genre yang kami gunakan ada pelbagai dan tidak hanya terikat dengan pop sebagaimana sebelum ini,” katanya.

Bercerita mengenai perancangan selepas berpecah, ada anggotanya masih akan terus terbabit dalam bidang muzik manakala yang lain memfokuskan kepada kehidupan peribadi.

“Saya sendiri akan meneruskan kerjaya nyanyian solo saya dan pada tahun depan merancang untuk kembali ke Malaysia. Mikey juga akan terus menjadi penulis lagu dan komposer.

“Manakala, Shane dan Keith akan kembali dengan komitmen masing-masing. Ada yang beralih dengan dunia permotoran selain rehatkan diri dengan kehidupan peribadi dengan keluarga,” katanya.

Jumaat lalu, Boyzone mengucapkan selamat tinggal buat selama-lamanya untuk dunia muzik pada konsert Boyzone - Thank You & Goodnight Farewell Tour anjuran Wowstar Creative Entertainment.

Kumpulan itu berjaya menggamit lebih 5,000 penonton di Stadium Malawati, Shah Alam yang kebanyakannya terdiri daripada generasi peminat muzik 1990-an.

Dalam konsert berdurasi hampir dua jam itu, Boyzone mempersembahkan 22 lagu termasuk Baby Can I Hold You, Everyday I Love You, Words, Nothing At All, Love Me For A Reason, No Matter What, Rollercoaster dan Picture of You.

Tahun lalu, Boyzone mengadakan persembahan di Kuala Lumpur buat julung kali bagi meraikan ulang tahun ke-25 mereka. Mereka turut mengumumkan penghasilan album baharu yang juga menjadi album terakhir mereka berjudul Thank You & Goodnight.

Dream dipilih sebagai single promosi album itu yang turut memuatkan suara bekas anggotanya, Stephen yang meninggal dunia pada 10 Oktober 2009 pernah merakamkan versi solo lagu itu yang diterbitkan pada 2001.

Disiarkan pada: June 17, 2019 @ 6:01am
d