utama

Ainul kini sudah mampu berdiri [METROTV]

Oleh Zanariah Abd Mutalib

“AINUL gembira dapat berdiri hari ini,” itu kata ibu kepada Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, Nurul Erwani Zaidi, 24, mengenai perkembangan terbaharu anaknya yang selamat menjalani pembedahan membuang Germ Cell Tumour di bahagian mulut minggu lalu.

Berita itu dikongsikan Nurul Erwani di laman sosial Instagramnya, hari ini.

Nurul Erwani berkata, anaknya yang berusia 10 bulan itu turut kelihatan seronok bermain dengan ibu bapanya.

“Lepas seronok main dengan mama dan walid, Ainul tidur. Anak mama memang cerdik,” katanya.

Nurul Erwani berkongsi video beliau memegang Ainul Mardhiah dan gambar bayi berkenaan sedang tidur.

Ainul Mardhiah, bayi yang menghidap Germ Cell Tumour selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di mulutnya di sebuah hospital di London pada 10 Jun lalu.

Ketumbuhan pada mulut bayi berkenaan yang mula membesar sejak dilahirkan hingga mencapai berat 200 gram itu, berjaya dibuang sekumpulan pakar bedah dan anestetik, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway.

Keadaan kesihatan Ainul Mardhiah yang semakin stabil juga membolehkan bayi itu dipindahkan ke wad biasa sejak Jumaat lalu, dengan semua jarum di tangan dan kakinya sudah dicabut.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut meluangkan masa melawat Ainul Mardhiah ketika dalam lawatannya kerjanya ke United Kingdom (UK).

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Disiarkan pada: June 18, 2019 @ 2:49pm
    d