utama

Berakhirnya riwayat Lans Koperal...

Oleh Erika George

ANGGOTA polis menembak diri sendiri dipercayai gagal mengawal tekanan selepas bertengkar dengan isterinya, malam tadi.

Lans Koperal berusia 48 tahun melakukan perbuatan itu di depan pintu Cawangan Persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu, 12.05 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, mangsa yang bertugas syif 1 hingga 8 pagi pergi ke stor senjata mengambil selaras senjata api jenis HK MP5.

“Maklumat awal diterima mendapati, sebelum kejadian iaitu kira-kira 11 malam, mangsa bertengkar dengan isterinya berhubung masalah kewangan.

“Sejurus tiba di Cawangan Persenjataan IPD Bintulu, dia mengambil senjata api itu dan mengacukan kepada seorang rakannya sebelum melepaskan beberapa das tembakan dari bahagian bawah dagunya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, lelaki terbabit kemudian rebah dan tidak sedarkan diri dengan berlumuran darah.

Katanya, sebelum ini anggota terbabit pernah dikenakan tindakan tatatertib dan digantung tugas bermula 9 Ogos tahun lalu hingga 27 Januari lalu dan kembali bertugas pada 28 Januari.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Disiarkan pada: June 19, 2019 @ 2:45pm
d