utama

Ebit Lew pernah makan nasi dengan kuah

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

“TERINGAT dulu-dulu saya selalu tidur masjid dekat Kuala Lumpur, sehari cuma makan nasi sahaja dengan kuah. Lama juga kepayahan begitu,” kata pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew.

Beliau yang terkenal dengan cara dakwah menyantuni masyarakat di jalanan berkongsi kisah hidupnya itu selepas tersentuh melihat kemiskinan dihadapi golongan miskin bandar Pulau Pinang, semalam.

Melalui perkongsian di akaun Instagramnya (IG) beliau meluahkan perasaan kasih dan simpati terhadap anak kecil dan ibu bapa mereka yang terpaksa tidur untuk meneruskan kehidupan.

“Sebak habis ceramah di Penang dalam jam 1 pagi, saja pusing-pusing cari orang yang diuji dalam hidup. Sebak bila berbual-bual dengan mereka.

“Paling sedih bila ada anak kecil. Anak tidur dekat ayah. Peluk ayah sambil tidur. Mesra rapat dengan ayah. Ya Allah...

“Tengok anak-anak ini rasa sebak. Sejuk, kotor, nyamuk, bahaya. Paling sedih ada suami, isteri dan anak kecil di jalanan ini. Apa saya nak jawab esok jika Allah tanya. Sedihnya. Tak pernah terfikirkan nak hidup begini. Ujian mereka,” tulisnya.

Pada ruangan itu, Ebit turut mengimbau kisahnya dahulu yang terpaksa melalui pengalaman sama ketika hidup di Kuala Lumpur.

“Suasana bandar ini ada orang diuji. Miskin bandar. Fakir miskin. Teringat dulu-dulu saya selalu tidur masjid dekat KL. Selalu tengah malam terjaga kerana lapar. Sehari cuma makan nasi je dengan kuah, lama juga begitu.

“Ada kerja dan gaji semua hantar dekat rumah kat kampung. Rezeki ini kadang asbab usaha sendiri. Kadang asbab kasih sayang masyarakat.

Ya Allah. Semoga Allah beri jalan keluar bagi mereka semua.

“Mendengar luahan hati mereka sebak rasa. Ujian kita berbeza-beza. Ada orang perlu diberi motivasi dan dibantu dalam hidup mereka. Saya beri nasihat solat dan didikan anak-anak. Beri sedikit hadiah pada mereka,” katanya.

Dalam catatannya itu, beliau turut berkongsi video menyantuni golongan berkenaan sebelum bersalaman dan berpelukan untuk memberi motivasi kepada mereka.

Video berkenaan mendapat lebih 124,000 tontonan dan lebih 200 komen yang memuji tindakannya itu.

Disiarkan pada: June 19, 2019 @ 4:04pm
d