utama

'KAFA takdok pitih'

Oleh Firdaus Hashim dan Syazwan Msar

KUALA LUMPUR: Cabaran getir menanti presiden baharu Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) berikutan hutang mencecah RM6 juta yang ditanggung persatuan itu membabitkan tunggakan gaji pemain, bayaran cukai pendapatan dan sewaan stadium.

Malah, mengikut sumber dalaman persatuan itu, KAFA juga berdepan dengan beberapa tindakan saman dan tuntutan pihak tertentu termasuk daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Kantung kewangan KAFA juga dikatakan kosong selepas Bibi Ramjani Ilias Khan melepaskan jawatan kelmarin, manakala ada pemain dan jurulatih masih lagi tidak menerima bayaran gaji lebih dua bulan.

KAFA turut berhutang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membabitkan jumlah ratusan ribu ringgit hingga terpaksa melangsaikannya menerusi bayaran ansuran sebanyak RM15,000.

Baru-baru ini pula, beberapa bekas pemain antaranya Khairul Fahmi Che Mat menuntut pembayaran tunggakan gaji mencecah RM300,000 dan jika gagal berbuat demikian, persatuan yang berpengkalan di negeri pantai timur itu akan dikenakan tindakan undang-undang.

“Banyak cabaran dan rintangan yang perlu dihadapi oleh pengurusan baharu KAFA dengan perkara utama adalah perlu menyelesaikan hutang lapuk yang boleh dikatakan agak tinggi dan sudah berlanjutan hampir lima tahun.

“Selain itu, tunggakan gaji pemain dan surat saman daripada pihak tertentu juga perlu diselesaikan segera bagi memberi wajah baharu kepada Kelantan.

“Hutang ini boleh diibaratkan sebagai warisan turun-temurun dan jika tidak diselesaikan segera pasti pengurusan baharu akan lalu situasi sama,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Kelmarin, Bibi Ramjani menerusi laman sosial Facebooknya mengumumkan meletakkan jawatan selepas mengharungi tempoh mencabar menjawat jawatan itu.

Beliau berjaya mengurangkan hutang lebih 50 peratus yang diwarisi selepas dilantik sebagai presiden KAFA pada September 2017, dan sepatutnya memimpin persatuan itu bagi penggal 2017 hingga 2021.

Sementara itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu peralihan kuasa dalam KAFA dijalankan mengikut statut persatuan negeri itu dengan tertib dan sempurna.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya mengikuti rapat situasi yang berlaku membabitkan ahli gabungannya itu dan berharap kemelut dalaman yang melanda KAFA ketika ini dapat diselesaikan dengan segera.

Disiarkan pada: June 20, 2019 @ 7:00am
d