utama

Hanya mampu melihat

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

KUALA LUMPUR: “Hati ibu mana yang tidak sayu apabila sekadar mampu melihat anak yang baru dilahirkan dari jauh tanpa dapat menyentuhnya namun di sudut hati saya berharap kesihatannya kembali normal seperti insan lain selepas pembedahan.”

Itu luahan Marlina Omar, 41, ibu kepada Aisyah Humaira Mohd Zaidi yang kini terpaksa bertarung nyawa akibat komplikasi saluran jantung terbalik selain organ itu mempunyai tiga lubang sejak dilahirkan 34 hari lalu.

Menceritakan semula kisah yang menimpa anak bongsunya itu, Marlina berkata, komplikasi dihadapi Aisyah hanya diketahui ketika usia kandungan mencecah 34 minggu namun tidak mengetahui komplikasi dihadapi serumit ini.

Katanya, anak keenamnya itu kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak dilahirkan kerana memerlukan pemantauan rapi pakar sepanjang masa.

“Saya dan suami Mohd Zaidi Mohd Yusoff dimaklumkan doktor pakar selepas Aisyah dilahirkan mengenai keadaan saluran jantungnya yang terbalik selain mempunyai tiga lubang yang perlu dibedah secepat mungkin bagi mengelak implikasi lebih serius kepada kesihatan.

“Namun, apabila mendengar kos pembedahan berjumlah RM60,000, kami tergamam kerana tidak mempunyai wang sebanyak itu untuk digunakan bagi merawat Aisyah kerana pendapatan suami yang tidak menentu memandangkan suami tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Dalam keadaan yang masih berpantang, saya terpaksa menggagahkan diri turun naik rumah flat yang didiami untuk ke HKL bagi memberikan susu namun tidak dapat menyentuh mahu pun mengucup pipi Aisyah,” katanya kepada Harian Metro.

Marlina berkata, penyakit kritikal itu perlu dirawat secepat mungkin kerana ia boleh menyebabkan jantung Aisyah tidak aktif seperti bayi seusianya dan pembedahan sepatutnya dilakukan dalam tempoh 10 hari selepas dilahirkan.

Marlina berkata, kos perubatan yang tinggi menyebabkan pembedahan terpaksa ditangguhkan selain perlu mendapatkan bantuan daripada orang ramai menerusi platform laman sosial untuk mendapatkan sumbangan orang ramai.

“Sejak lebih seminggu tular dalam media sosial, bantuan diterima mencecah RM47,000 hasil sumbangan pelbagai pihak yang mahu melihat Aisyah kembali sihat dan aktif seperti bayi lain.

“Kini, saya dan suami berharap kos rawatan dapat dikumpul secepat mungkin dan pembedahan dapat diatur pakar sama ada di Institut Jantung Negara (IJN) atau sebuah hospital swasta di ibu negara,” katanya yang mempunyai anak berusia antara setahun hingga 21 tahun..

Tambahnya, dia dan suami terharu dengan keprihatinan rakyat Malaysia yang sudi menyalurkan bantuan malah ada yang turut menghubunginya bagi memberikan kata-kata semangat untuk berdepan ujian hebat ini.

Marlina berkata, harapannya kini adalah untuk melihat Aisyah kembali sihat dan dapat menjalani kehidupan seperti insan lain dan berdoa pembedahan itu nanti berjaya memulihkan kesihatannya tanpa ada sebarang implikasi lain.

“Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sudi membantu selepas kisah penderitaan tular di laman sosial. Saya tidak dapat membalas jasa pakar perubatan, kakitangan HKL dan orang ramai yang sudi berkongsi keringat, masa dan wang ringgit untuk melihat Aisyah kembali sihat.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun CIMB 7601528017.

Disiarkan pada: June 21, 2019 @ 5:30am
d