utama

Birkenstock ciplak RM10

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

KUALA LUMPUR: Kaut keuntungan ribuan ringgit setiap bulan dengan menjual selipar berjenama tiruan pada harga serendah RM10.

Itu kegiatan dilakukan sindiket barangan tiruan yang dibongkar pasukan penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Dalam serbuan jam 2 petang Selasa lalu, dua premis di Plaza Haji Taib dan Plaza TAR di sini, diserbu selepas mereka menerima maklumat daripada wakil cap dagang memaklumkan berlaku penjualan barang tiruan.

Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ummi Nasrah Othman berkata, 2,614 selipar tiruan pelbagai jenama membabitkan Adidas, Nike, Puma dan Birkenstock dianggarkan bernilai RM10,528 dirampas dalam serbuan itu.

“Serbuan pertama dilakukan di Plaza Haji Taib mendapati kedai berkenaan ditinggalkan pekerjanya apabila melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa di kawasan terbabit.

“Dalam serbuan kedua di Plaza TAR pula, kami menahan dua lelaki iaitu warga tempatan dan Indonesia berusia 23 tahun yang bekerja di kedai berkenaan.

“Pemeriksaan di kedua-dua premis berkenaan membawa kepada penemuan 2,614 selipar tiruan pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM10,528,” katanya di Pejabat KPDNHEP Kuala Lumpur di sini, kelmarin.

Ummi Nasrah berkata, siasatan awal mendapati selipar berjenama tiruan berkenaan dijual pada harga serendah RM10 setiap satu berbanding harga selipar asli RM200 hingga RM300 setiap pasang.

“Malah, sindiket ini menawarkan harga serendah RM4 sepasang selipar tiruan bagi pelanggan yang membeli secara borong.

“Berdasarkan maklumat diperoleh daripada wakil cap dagang, pihak terbabit melakukan risikan terhadap kedua-dua premis berkenaan sejak sebulan lalu sebelum melaporkan perkara itu kepada KPDNHEP.

“Kami masih menyiasat lokasi sindiket terbabit mendapatkan bekalan barang tiruan itu dan tempoh mereka mula beroperasi di lokasi berkenaan,” katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011.

Dalam perkembangan berasingan, 50 kes direkodkan KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dari Januari hingga Selasa lalu dengan rampasan 47,448 barangan tiruan dianggarkan bernilai RM1.65 juta.

Katanya, pihaknya mengambil tindakan berterusan dalam penguat kuasaan hak harta intelek bagi memastikan ia dilindungi dan dihormati, sekali gus memastikan Malaysia tidak menjadi sebagai pusat jualan barang tiruan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan jualan barangan tiruan boleh mengemukakan aduan dengan melayari portal KPDNHEP menerusi e-aduan@kpdnhep.gov.my.

Sementara itu, di Ipoh, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak merampas 417 selipar tiruan jenama Birkenstock dalam pemeriksaan di premis Kawasan Perindustrian Mengelembu, kelmarin.

Dalam pemeriksaan jam 10 pagi, pegawai penguat kuasa KPDNHEP menemui selipar jenama berkenaan dipercayai tiruan di premis terbabit dan merampas semua barangan dianggarkan bernilai RM2,933.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Perak, Khalid Tik berkata, siasatan awal pihaknya mendapati selipar tiruan berkenaan dijual kepada pelanggan sekitar negeri ini secara borong dengan harga RM7.

Disiarkan pada: June 21, 2019 @ 6:00am
d