utama

Fosil dinosaur cikgu Safreen [METROTV]

Oleh Nabihah Kamal

“MEREKA tidak mempunyai akses mudah Internet seperti murid di bandar, justeru saya gunakan pendekatan tersendiri untuk memudahkan proses pembelajaran mereka,” kata Muhammad Safreen Shafie, 32, guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua Buso, Bau, Sarawak.

Status dan gambar Muhammad Safreen di Facebook yang bergaya ala ahli paleontologi dengan mencipta sendiri penemuan fosil dinosaur menggunakan kreativiti sendiri menjadi perhatian di laman sosial.

Status yang dimuatnaik pada 14 Jun lalu itu menggambarkan bagaimana dia yang memang bercita-cita menjadi ahli paleontologi mendidik anak muridnya secara interaktif dengan cara tersendiri.

Menurutnya, ketika itu dia mengajar murid tahun 2 di sekolah berkenaan mengenai topik bahagian badan haiwan.

Katanya, dia memilih fosil dinosaur untuk diterangkan kepada muridnya.

"Ada subtopik dalam subjek Bahasa Inggeris mengenai tulang, bahagian badan haiwan.

"Saya menggunakan buku yang dalamnya ada menunjukkan ahli paleontologi mengorek tulang.

"Dari situ, murid saya menunjukkan minat dan banyak soalan yang ditanya," katanya yang sudah mengajar di Sarawak selama lapan tahun.

Mengimbas kembali zaman kanak-kanaknya, Muhammad Safreen berkata, dia ingin menjadi ahli paleontologi suatu ketika dulu.

"Ketika berusia 11 tahun, mak banyak beli buku dinosaur dan banyak kotak bijiran yang mempunyai gambar dinosaur.

"Saya potong buat folio dengan menggunakan gambar-gambar dinosaur dan ada menyimpan cita-cita ingin menjadi ahli paleontologi," katanya.

Dengan menggunakan pengalaman manis ketika zaman kanak-kanak, guru Bahasa Inggeris itu berkata, dia mengorek tanah di bahagian belakang sekolah untuk dijadikan lokasi eksperimen berkenaan.

"Saya korek tanah dan gunakan kotak untuk hasilkan fosil dinosaur. Mereka (murid) berminat sungguh dan sangat gembira," katanya.

Menurutnya, ada segelintir individu berpendapat apa yang dilakukannya buang masa.

"Masa mengajar adalah 30 minit, mungkin ada yang rasa saya buang masa kerana murid perlu mengorek tanah.

"Bagaimanapun, teknik ini efektik dan ketika mereka korek tanah mereka bersemangat. Ada yang gembira beritahu jumpa kaki dinasour.

"Saya rasa ia berkesan untuk mereka berbanding hanya menggunakan buku," katanya.

Muhammad Safreen yang berasal dari Kulim, Kedah berkata, teknik mengajar di luar bandar berbeza kerana kekangan teknologi.

"Saya berkongsi pengalaman dengan rakan yang bekerja di Semenanjung seperti di Selangor, mereka menggunakan aplikasi untuk mengajar murid.

"Ketika mula-mula bertugas di sini (Sarawak) saya rasa 'down' (sedih). Saya berfikir apa nak buat dan rasa gagal sebagai guru kerana tidak dapat sediakan teknologi yang penting untuk kemudahan murid," katanya.

Susulan itu, katanya, dia menggunakan pelbagai teknik demi membantu memudahkan proses pembelajaran murid di luar bandar supaya berjaya kelak.

Disiarkan pada: June 21, 2019 @ 7:27pm
d