utama

'Kami bersatu 13 Disember nanti'

Oleh Najiy Jefri

PELAKON Ain Edruce selamat melangsungkan majlis pertunangan dengan kekasihnya, Amirul Hafiz, 26, di kediaman keluarganya di Sentul, Kuala Lumpur, hari ini.

Ain ketika ditemui berkata, dia dan Amirul bersepakat memilih 13 Disember depan untuk disatukan sebagai suami isteri.

“Hasil perbincangan kedua-dua belah keluarga kami memilih tarikh 13 Disember depan untuk majlis akad nikah.

“Malah keluarga juga berharap kami dapat disatukan secepat mungkin selepas majlis pertunangan ini,” katanya.

Ain yang manis mengenakan persalinan ‘rona pastel’ rekaan Wanpa menerima sebentuk cincin selain sembilan dulang hantaran berbalas 11.

Kira-kira 200 tetamu yang terdiri daripada anggota keluarga dan rakan terdekat kedua-dua belah pihak menyerikan majlis berkenaan.

Berkongsi bibit perkenalan dengan Amirul sejak setahun lalu, Ain berkata, dia mengenali kekasihnya itu di menerusi laman Instagram.

Katanya, perancangan untuk mendirikan rumah tangga selepas mengenali hati budi hampir setahun bukan satu penyesalan meskipun karier seninya sedang melonjak naik.

“Ramai yang cakap, rezeki akan bertambah apabila mendirikan masjid. Jadi, saya anggap keputusan ini sebagai fasa baharu yang akan saya lalui kelak sebagai bonus.

“Niat untuk mendirikan masjid ini sendiri sudah dikira bagus. Ia juga rezeki saya.

“Malah, saya tidak menganggap status sebagai isteri sebagai penghalang untuk terus mencari rezeki dan meluaskan pengaruh jenama sendiri,” katanya.

Disiarkan pada: June 22, 2019 @ 10:15pm
d