utama

20 pelajar dirawat, sekolah ditutup sementara [METROTV]

Oleh Nurul Amanina Suhaini

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Damai, Pasir Gudang, mendapat arahan sesi persekolahan ditangguhkan dengan 20 pelajar sekolah itu dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan ekoran pencemaran udara, 11 pagi, hari ini.

Tinjauan NSTP di lokasi mendapati beberapa ambulans dilihat keluar dari SMK Taman Nusa Damai dipercayai membawa pelajar terkesan akibat pencemaran udara.

Suri rumah, Arbainah Mohamed, 47, berkata, ketika menghantar dua anaknya ke Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Nusa Damai, menerima pesanan menerusi WhatsApp daripada pengurusan sekolah memaklumkan sesi persekolahan pelajar sekolah menengah ditangguhkan.

“Pada 11 pagi, saya terima mesej daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang mengarahkan sesi persekolahan ditangguhkan sehingga dimaklumkan kelak. Selain itu ibu bapa diminta mengambil anak masing-masing. Saya tidak sedap hati sejak pengumuman tiga sekolah dan dua tadika diarah tutup, takut sangat pencemaran merebak ke kawasan berhampiran.

“Lagipun, jarak antara Sekolah Agama Taman Mawar ke sini hanya kira-kira lapan kilometer, sangat dekat. Ibu bapa mana tidak risau terjadi apa-apa pada anak masing-masing.

“SMK Taman Nusa Damai ini sangat berhampiran dengan SK Taman Nusa Damai Pasir Gudang. Saya bergegas datang ke sekolah berjalan kaki untuk mengambil anak saya, Daniel Ariff Fikri Zaquan, 15. Mujur saya melihat anak dalam keadaan baik, saya bergegas membawanya pulang,” katanya yang menetap di Jalan Sejahtera 19, Taman Nusa Damai.

Sementara itu, pelajar SMK Taman Nusa Damai, Akmal Hazim Nazri, 16, berkata, ketika menjalankan sesi persekolahan seperti biasa dan kebetulan hari ini adalah Hari Bertemu Pelanggan di mana ibu bapa hadir ke sekolah untuk mengambil keputusan peperiksaan anak masing-masing.

“Kira-kira 10 pagi, pelajar Tingkatan Satu rehat dahulu di kantin sekolah tiba-tiba ada pelajar Tingkatan Satu pengsan, semua pelajar lain menjengah untuk melihat apa yang berlaku.

“Tidak lama kemudian, guru sekolah mengumumkan semua pelajar Tingkatan Satu, Empat dan Lima keluar dari kelas dan berhimpun di dataran depan sekolah. Selepas turun dari tangga, ramai yang terbaring dan ada yang pengsan, tapi saya tidak nampak ada yang muntah dan tidak menghidu bau meloyakan.

“Saya terus pulang ke rumah berjalan kaki, namun pihak sekolah tidak memaklumkan sekolah ditutup atau tidak,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh berkata, sehingga kini hanya SMK Taman Nusa Damai yang mendapat arahan sesi persekolahan ditangguhkan.

“Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Nusa Damai belum mendapat makluman arahan sekolah ditutup. Sehingga kini, pihak sekolah memaklumkan 20 mangsa yang terjejas susulan pencemaran bau dan kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika melawat SMK Taman Nusa Damai, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar dalam perjalanan ke lokasi untuk melihat keadaan terkini.

“Buat masa ini saya tidak boleh berikan sebarang kenyataan bagi mengelak kekeliruan, sebaik saya tiba dan mendapat maklumat saya akan berikan maklumat lengkap kepada media untuk hebahan,” katanya ketika dihubungi.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Disiarkan pada: June 23, 2019 @ 1:13pm
d