utama

Menunggu 13 Disember

Oleh Najiy Jefri

INSTAGRAM menjadi pemula ikatan cinta pelakon Ain Edruce, 28, dengan usahawan Amirul Hafiz, 26, yang kini melangkah ke satu fasa baharu dalam hidup mereka selepas melangsungkan pertunangan, kelmarin.

Siapa sangka, perkenalan yang tidak disengajakan ketika Amirul menghantar mesej peribadi kepada Ain sekitar tahun lalu membibitkan rasa cinta antara mereka.

Majlis pertunangan berlangsung meriah dan indah di kediaman keluarga Ain di Sentul, Kuala Lumpur dan mereka sepakat memilih tarikh 13 Disember depan untuk disatukan sebagai suami isteri.

Tidak mahu menunggu lama untuk melakukan perkara baik apabila usianya yang sudah menjangkau 28 tahun, Ain yakin sudah tiba masanya untuk memikirkan kehidupan baharu.

“Sampai sekarang saya masih tak percaya bagaimana boleh berjumpa dengan seseorang yang saya cinta di laman sosial. Sebelum ini jika kawan yang bertemu pasangan di media sosial, saya akan menasihati mereka.

“Begitu juga jika pasangan itu lebih muda daripada usia mereka. Bagaimanapun, semuanya itu terjadi kepada saya apabila dapat Amirul yang lebih muda daripada saya.

“Saya tak rasa gemuruh untuk melangkah ke gerbang perkahwinan sebaliknya lebih teruja. Saya pun sudah berusia 28 tahun, jadi memang masa yang sesuai untuk menamatkan zaman solo.

“Saya tak sabar nak mulakan kehidupan baharu dalam hidup saya dan menjadi isteri yang terbaik dalam rumah tangga yang bakal dibina nanti.

“Doakan semoga semuanya berjalan dengan lancar dan dipermudahkan segala urusan,” katanya.

Ain yang manis mengenakan persalinan rona pastel rekaan Wanpa menerima sebentuk cincin selain sembilan dulang hantaran berbalas 11.

Kira-kira 200 tetamu yang terdiri daripada anggota keluarga dan rakan terdekat kedua-dua belah pihak menyerikan majlis berkenaan.

Perkara baik elok dipercepatkan

Mengikut perancangan sebelum ini, Ain pernah memaklumkan untuk berkahwin pada Februari tahun depan, bagaimanapun pada majlis pertunangan semalam berlaku perubahan tarikh dan majlis dipercepatkan kepada Disember tahun ini.

Ditanya mengapa ia dicepatkan, Ain berkata, tiada keperluan untuk dia melambat-lambatkan perkara yang baik.

“Satu rasa tiada sebab untuk saya melambatkan-lambatkan benda yang baik dan mahu melakukannya tahun depan. Lagipun, apa yang saya buat ini pun elok, jadi saya nak ia dilakukan tahun ini. Tambahan pula, orang cakap bertunang ini banyak dugaan jadi hasil perbincangan kedua-dua pihak kami bersepakat memilih 13 Disember. Malah keluarga juga berharap kami dapat disatukan secepat mungkin selepas majlis pertunangan ini,” katanya.

Walaupun karier seninya sedang melonjak naik, Ain tidak menyesal dengan keputusannya itu sebaliknya percaya dengan rezeki selepas berkahwin.

“Ramai yang cakap, rezeki akan bertambah apabila mendirikan masjid. Jadi, saya anggap keputusan ini sebagai fasa baharu yang akan saya lalui kelak sebagai bonus. Niat untuk berkahwin ini sendiri sudah dikira bagus. Ia juga rezeki saya.

“Malah, saya tidak menganggap status sebagai isteri sebagai penghalang untuk terus mencari rezeki dan meluaskan pengaruh jenama sendiri,” katanya.

Sementara itu, Amirul pula berkata, ketika mula berkawan dengan Ain dia tidak tahu tunangnya itu seorang artis.

“Asalnya saya hanya berkongsi tempat menarik di Bali ketika dia dan keluarga ke sana. Jadi saya menghantar mesej peribadi kepadanya ketika itu.

“Namun, tanpa disangka hubungan itu menjadi seorang rakan dan saya selesa berkawan dengannya. Saya tertarik dengannya sebab dia seorang yang ‘gila-gila’ dan sentiasa mendahulukan keluarganya. Malah ketika pertemuan pertama kami pun, dia meminta saya menghubungi keluarga untuk membawa saya keluar.

“Dari situ bermulalah bibit baharu dalam hidup kami apabila masing-masing melihat ada keserasian,” katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2019 @ 5:31am
d