utama

Tak mengaku rogol nenek

Oleh Siraj Mohd Zaini

PENGANGGUR dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, atas pertuduhan merogol wanita warga emas yang juga saudaranya antara 8 dan 9 Jun lalu.

Tertuduh yang berusia 41 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rogol terhadap wanita berusia 62 tahun di kediaman di Seksyen 18, Shah Alam pada 8 Jun, 10.30 malam sehingga 3.30 pagi keesokan harinya.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Aifaa Che Abdullah memohon agar tiada jaminan diberikan terhadap tertuduh kerana mangsa adalah saudaranya.

“Tertuduh juga mengetahui tempat tinggal mangsa dan mengelakkan dia mengganggunya sebagai saksi kes ini.

“Selain itu, tertuduh juga ada tiga pertuduhan lain di Mahkamah Majistret ,” katanya.

Sabri kemudiannya membuat keputusan agar tertuduh tidak diberikan jaminan dan kes disebut semula pada 24 Julai.

Difahamkan, tertuduh turut menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 342, Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: June 24, 2019 @ 1:42pm
d