utama

Kenapa kejam sangat?

Oleh Muhammad Apendy Issahak

“ADIK saya OKU (orang kurang upaya), kakinya lumpuh... kalau tolak pun tumbang dan pasti tidak mampu lari atau melawan. Mengapalah kejam sangat pukul dia hingga mati,” kata S Ramli Ngah Aziz, 49.

S Ramli adalah abang kepada Badrul Hisham Ngah Aziz, 42, yang maut dibelasah hingga mati dalam kejadian di Jalan Kenanga 8, FELCRA Changkat Lada, Kampung Gajah, semalam.

Menurutnya, dia mengetahui mengenai kejadian menimpa adik bongsunya daripada lima beradik itu agak lewat, kira-kira 4 petang.

“Saya berada di rumah bersama ibu ketika mendapat tahu mengenai kejadian dan terus membawa ibu untuk memastikan keadaan adik.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, mayat adik masih ada menyebabkan ibu saya menjadi lemah kerana tidak dapat menahan sedih serta terkejut dengan apa yang berlaku,” katanya yang ditemui ketika menuntut jenazah adiknya di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, hari ini.

Menurutnya, adik bongsunya itu tinggal berdua dengan ibunya di kampung sejak lumpuh separuh badan akibat angin ahmar kira-kira 10 tahun lalu, manakala dia menetap dan bekerja di Lembah Klang.

Katanya, adiknya sudah bercerai serta tiga anaknya tinggal bersama bekas isteri selepas arwah lumpuh kaki dan tangan kiri, namun kini sudah mampu bergerak sedikit termasuk memandu kereta.

“Saya kebetulan bercuti hujung minggu dan pulang ke kampung untuk menyelesaikan beberapa urusan keluarga.

“Kali terakhir saya berjumpa dan berborak dengan arwah pada malam kejadian sebelum saya keluar ke kebun selepas subuh,” Katanya.

S Ramli berkata, dia tahu adiknya berkawan dengan isteri suspek dan ibunya pernah menegur isteri suspek agar tidak rapat dengan arwah.

“Ibu dah nasihat kepada isteri suspek jangan berkawan dengan mangsa kerana arwah memang tidak sihat dan nak buat apa dengan dia (arwah).

“Kami serahkan siasatan kepada pihak polis dan harap suspek menerima hukuman setimpal,” katanya.

Menurutnya, jenazah adiknya akan dikebumikan hari ini di tanah perkuburan Kampung Selat Pulau, Kampung Gajah.

Berita berkaitan:

Nak 'flying kick' jurufoto [METROTV]

Duda OKU maut dipukul angkara cemburu

Disiarkan pada: June 24, 2019 @ 2:20pm
d