utama

Tiga maut kereta berlanggar bas persiaran

Oleh Muhammad Apendy Issahak

TIGA maut dan seorang parah selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah bas persiaran di Jalan Gerik - Baling, di Gerik, hari ini.

Kemalangan pada 5 petang membabitkan kereta Perodua Myvi dengan bas persiaran, namun pemandu dan penumpang bas dilaporkan tidak cedera.

Dua mangsa meninggal dunia dikenal pasti sebagai Tengku Khairul Amirin Tengku Kamarudin, 24, dan Mohamad Syahidi Ahmad Kamil, 24, manakala seorang lagi belum dikenal pasti.

Mangsa parah pula adalah Mohamad Shahrin Rasid, 23, dan semua mangsa menaiki kereta berkenaan dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kota Bahru, Kelantan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Kamarul Ariffin Abd Ghani ketika dihubungi berkata, maklumat awal mendapati Perodua Myvi berkenaan dari Pulau Pinang menuju Kota Bahru, manakala bas persiaran dari arah bertentangan.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 5.11 petang dan sebaik tiba di lokasi kejadian, empat mangsa didapati tersepit dalam kereta berkenaan.

“Tiga mangsa disahkan meninggal dunia manakala seorang lagi parah di bahagian kaki dan kepala.

“Penumpang dan pemandu bas tidak cedera dan bomba kemudian mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat,” katanya.

Kamarul Ariffin berkata, mangsa yang maut kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa cedera diserah kepada pihak perubatan dan dihantar ke Hospital Gerik untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, operasi selesai dan ditamatkan pada 6.28 petang.

Disiarkan pada: June 24, 2019 @ 8:22pm
d