utama

Tunggu watak cabar kemampuan

Oleh Ramlah Zainal

SELEPAS berkahwin dan menceburi bidang perniagaan, Fouziah Gous, 35, seolah-olah memperlahankan kerjaya lakonannya. Fouziah berkata, dia belum bersara kerana masih meminati bidang lakonan yang sudah sebati dengannya sejak dulu.

“Cuma saya agak memilih dengan watak yang ditawarkan bagi mencari kelainan dalam lakonan,” katanya.

Menurut Fouziah, dia juga menanti watak yang mampu mencabar kemampuannya dalam bidang lakonan.

“Saya banyak dapat tawaran berlakon drama tetapi watak dan naskhahnya tidak menarik. Sebenarnya, saya rindu dan menanti watak yang boleh beri impak mendalam pada penonton.

“Contohnya, ramai peminat masih mengingati lakonan saya dalam drama Trilogi Cinta sampai sekarang,” katanya.

Sekian lama tidak berlakon, Fouziah bakal mengubat kerinduan peminat menerusi watak pembantu dalam drama bersiri 30 episod Sarasajeeda untuk Slot Samarinda di TV3.

“Saya terima tawaran itu kerana tertarik dengan watak yang ditawarkan iaitu pensyarah yang jatuh cinta dengan pelajarnya yang lebih muda. Saya tidak pernah melalui situasi itu dalam kehidupan sebenar mahupun dalam lakonan sebelum ini.

“Pastinya watak itu turut memberi cabaran tersendiri buat saya sebagai wanita matang yang bercinta dengan lelaki lebih muda. Cerita ini juga ada konflik apabila saya bercinta dengan adik kawan baik sendiri,” katanya.

Pada masa sama, kata Fouziah, dia juga mahu bekerjasama dengan pelakon hebat dan berpengalaman yang ditampilkan dalam drama bersiri itu.

“Barisan pelakon utama cerita ini seperti Tiz Zaqyah dan Fahrin Ahmad adalah rakan seperjuangan dalam bidang seni tanah air. Saya berasa seronok kerana dapat kembali ke lokasi penggambaran dan dapat berkumpul dengan rakan lama dalam bidang seni,”katanya.

SUAMI TAK HALANG BERLAKON

Selepas berkahwin dan memiliki dua anak, Fouziah akui keutamaannya juga pada rumah tangga. Oleh itu, sesibuk mana pun menguruskan perniagaan dan berlakon, dia tetap pastikan keluarga tidak terabai.

“Saya juga memilih watak yang sesuai dengan perubahan status sebagai isteri, ibu dan sekarang ahli perniagaan. Suami juga tidak halang saya mahu kembali berlakon dan dia juga beri sokongan jika saya dapat watak yang menarik dan sesuai,” katanya.

Bercerita mengenai perniagaannya, Fouziah berkata, dia bersyukur kerana produk minuman sarang burung FG Walet yang diusahakannya semakin berkembang.

“Alhamdulillah, berkat usaha dan kerja keras, akhirnya produk itu mendapat sambutan hangat pelanggan. Ia juga sudah boleh didapati di merata tempat termasuk stesen minyak dan pasar raya.

“Selain itu, saya juga mahu berkongsi rahsia kejelitaan dengan khasiat produk sarang burung yang diamalkan sejak 10 tahun lalu,” katanya.

Hasil perkongsian hidup dengan Md Zhafran Md Yusof, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Zeeshan dan Zaheen.

Disiarkan pada: June 25, 2019 @ 6:00am
d