utama

Lelaki berbaring dalam asrama perempuan

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

POLIS sedang memburu lelaki misteri yang menceroboh masuk bilik asrama di sebuah sekolah menengah di Kuala Terengganu, kelmarin.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek memakai penutup hidung, mulut dan kepala serta berkaca mata dipercayai naik ke asrama pelajar perempuan melalui tangga belakang, jam 3.40 pagi.

Menurut sumber, kehadiran suspek disedari pelajar perempuan yang terkejut melihat suspek baring di atas tilam di asrama berkenaan.

Katanya, pelajar yang terkejut dengan melihat suspek bertindak menjerit menyebabkan suspek melarikan diri ke bilik asrama yang lain.

“Ketika itu, suspek ada memegang bahu pelajar yang ada di bilik asrama itu namun, pelajar perempuan itu sempat menendang suspek sebelum lelaki terbabit segera melarikan diri bagi mengelak dicekup.

“Kejadian itu kemudian dimaklumkan kepada guru wanita berusia 34 tahun yang ketika itu berada di bilik warden sebelum laporan dibuat di Balai Polis Kuala Terengganu, semalam.

“Hasil rakaman CCTV, suspek yang menceroboh masuk melalui tangga belakang sekolah dikatakan terus menuju ke asrama perempuan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Katanya, usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Disiarkan pada: June 25, 2019 @ 3:18pm
d