utama

Siti Hasmah jadikan hidup lebih baik

Oleh Hairulazim Mahmud

“HIDUP saya bertambah baik setiap hari dengan perkahwinan selama 63 tahun bersama (Tun Dr Siti) Hasmah (Mohamad Ali),” kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berkongsi kisah kehidupannya bersama isteri tercinta, Perdana Menteri berasa amat beruntung kerana berjaya mengharungi alam perkahwinan selama ini sama ada semasa suka dan duka.

Malah, beliau bertuah kerana mempunyai isteri sehingga kini, yang juga seorang doktor, menjadikannya satu bonus baginya.

“Saya tak pasti bagaimana beliau melakukannya selama ini tapi beliau berjaya menunaikannya.

“Kata orang di belakang setiap lelaki yang berjaya pasti ada wanita.

“Saya tak pasti termasuk dalam golongan itu atau tidak kerana sampai hari ini saya masih bekerja dan dinilai pada setiap masa,” kata beliau.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis ‘My Voice My Nation Malaysia 2019’ di Axiata Arena Bukit Jalil, malam tadi.

Turut hadir, Dr Siti Hasmah, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi dan Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Dalam pada itu bercakap mengenai sikap menepati masa, Dr Mahathir sudah melakukannya dan berharap semua pihak mencontohinya.

Beliau berkata akan bekerja keras sekiranya mahu melihat orang lain berbuat perkara yang sama.

“Jika saya mahu orang lain menepati masa, saya juga mesti buat yang sama. Nampak perkara ini kecil tapi menghormati masa adalah segalanya, lagi pun masa tidak akan menunggu kita,” kata beliau.

Kata beliau, ada orang yang gagal menepati masa apabila membuat temujanji dengannya sebelum ini akan kecewa kerana beranggapan beliau tidak fleksibel.

“Tapi saya sekarang lebih fleksibel tapi bukan kerana saya tidak menghormati masa, sebaliknya akibat bebanan kerja yang terlalu banyak terpaksa dilakukan,” kata beliau.

Disiarkan pada: June 27, 2019 @ 1:08pm
d