utama

Kenapa perlu bunuh? [METROTV]

Oleh Shamsul Munir Safini

“TAK sangka keterujaan ibu ke Turki berakhir dengan tragedi, malah wang simpanannya ke sana juga disamun,” kata F C Beh, 39, anak kepada Loo Siew Lam, 71, yang maut selepas dibunuh dan disamun di rumah keluarganya di Taman Seri Merbau, Tasek Gelugor, petang hari ini.

Dalam kejadian itu, Loo ditemui suami Beh pada 4.20 petang dalam keadaan berlumuran darah akibat ditetak di bahagian kaki dan belakang badannya, selain turut terikat di tangan serta kaki.

Beh berkata, ibunya tinggal di rumah itu berseorangan dan suaminya menjumpai mayat mangsa di tingkat atas rumah.

“Semalam saya ke rumah membawanya ke bank untuk menukar wang kerana dia akan pergi ke Turki bercuti beberapa minggu lagi.

“Itu kali terakhir, saya berjumpanya dan pada waktu itu, dia menukar wang RM1,500 ke mata wang Dolar Amerika Syarikat (USD),” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, dia bersama abang dan adiknya terkejut dengan kejadian itu, malah tidak menyangka ada yang tergamak bertindak sedemikian kepada wanita yang sudah lanjut usia.

Katanya, ketika tiba di rumah berkenaan pada 4.20 petang hari ini, dia bersama suami melihat pintu jeriji besi rumah terbuka dan hanya ditutupi langsir, manakala pintu belakang rumah juga dibuka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.47 petang sebelum tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan dilakukan pihaknya menemui mangsa terbaring berlumuran darah di lantai sebuah bilik dengan kaki dan tangannya terikat.

“Kami percaya mangsa dan suspek bergelut ditingkat bawah rumah dan dicederakan sebelum diseret ke tingkat atas.

“Mangsa kemudian diikat di bahagian tangan dan kaki sebelum dibiarkan mati,” katanya.

Noorzainy berkata, mangsa dipercayai sudah lima jam meninggal dunia sebelum ditemui menantunya.

Katanya, wang milik mangsa yang baru ditukar ke USD juga hilang dipercayai dilarikan suspek.

“Kami masih belum mengenal pasti suspek dan masih meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan taman perumahan itu.

“Kami meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian agar dapat menghubungi polis,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Disiarkan pada: June 27, 2019 @ 7:36pm
d