utama

Mata buta hati cekal

Oleh Redzuan Muharam

KUALA LUMPUR: Dirinya dilahirkan tanpa pancaindera penglihatan namun dia cekal menjaga isterinya yang juga cacat penglihatan malah turut menderita kanser serta masalah saraf.

Bapa tiga anak ini juga perlu memberi perhatian terhadap seorang daripada tiga anaknya yang mengalami masalah gangguan hiperaktif defisit tumpuan (ADHD) selain menjaga bapa mentua berusia 90 tahun yang tinggal bersama.

Namun, ujian berat ini tidak pernah mematahkan semangat Mohd@Moha Hazeefisz Maarif, 40, dan tidak sesekali menyesali takdir menimpanya.

Bercerita lanjut, Mohd@Moha Hazeefisz berkata, kesempitan hidup pernah memaksa dia dan isteri, Nur Shafina Ab Hamid, 39, meminjam wang daripada along.

Namun, pengalaman itu menjadi pengajaran berharga untuk mereka berdua terus kuat dalam mengharungi susah senang hidup berumah tangga.

Katanya, anak sulung mereka, Halimaton Sa’adiah, 17, disahkan mengalami ADHD. Dua lagi anak ialah Hani Raudhatul Husna, 15, dan Muhammad Haziq Hasbullah, 11.

Mohd@Moha Hazeefisz berkata, meskipun tidak pernah melihat wajah isteri dan anaknya, dia rasa kehidupannya lengkap kerana mempunyai keluarga di sisi.

Katanya, disebabkan itu, dia tidak pernah berasa kesal dilahirkan tanpa deria penglihatan seperti individu lain kerana menganggapnya sebagai pembakar semangat untuk terus kuat memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

“Jujurnya, saya rasa hidup saya sama saja seperti orang lain, cuma bezanya tidak dapat melihat seperti mereka.

“Jadi, tiada apa yang perlu dikesalkan sebaliknya saya kini bersyukur kerana sudah mempunyai pekerjaan tetap iaitu sebagai pegawai khidmat pelanggan di sebuah hospital swasta.

“Sudah sembilan tahun saya berkhidmat di situ dan tak sangka juga apabila diterima bekerja kerana sewaktu menghadiri temuduga, ramai calon lain lebih berkelayakan,” katanya yang tinggal menyewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Pantai Dalam.

Sementara itu, Nur Shafina berkata, dia tidak dapat berjalan seperti orang normal sejak setahun lalu akibat masalah saraf dan kini bergerak dengan bantuan kerusi roda.

Pada masa sama, Nur Shafina turut bertarung nyawa apabila disahkan menghidap kanser ovari tahap empat pada 2015.

“Sejak tidak dapat berjalan, suami banyak membantu melakukan kerja rumah dan kadangkala, ada jiran yang datang membantu.

“Dua anak perempuan saya turut membantu tetapi hanya ketika cuti sekolah saja kerana mereka berdua tinggal bersama emak di Triang Hilir, Simpang Durian, Negeri Sembilan.

“Ikutkan, kehidupan saya memang banyak berubah berbanding dulu namun suami sentiasa ada di sisi.

“Mungkin itu kelebihan mempunyai pasangan senasib kerana dia lebih memahami dan tahu bagaimana untuk menguruskan saya,” katanya.

Menurut Nur Shafina bapanya, Salim Nayan, 90, turut tinggal bersama mereka.

Disiarkan pada: June 28, 2019 @ 5:30am
d