utama

Cecair hijau sah air cucian tangki

Oleh Mohd Sabran Md Sani

PASIR GUDANG: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan cecair hijau yang ditemui di sistem saliran di deretan kilang Jalan Keluli 7 di sini, semalam adalah air cucian tangki.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, ia berdasarkan siasatan jabatan itu terhadap penemuan cecair berkenaan.

“Siasatan dilakukan dan kita dapati cecair itu ialah air basuhan tangki dan warna hijau terhasil akibat lumut di dalam tangki berkenaan.

“Sekarang semua orang nampak air bertukar warna lain sebagai sisa toksik,” katanya.

Beliau mengulas menjawab penemuan cecair hijau oleh penduduk Jalan Keluli 7, Pasir Gudang dikeluarkan kilang ke longkang, semalam.

Perkara itu didedahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh, selepas menerima aduan penduduk berhubung penemuan cecair hijau seakan-akan minyak atau cat yang belum diketahui jenisnya.

Kakitangan dan pegawai JAS ke lokasi pembuangan cecair yang di dakwa dibuang ke dalam longkang itu pada jam 10 pagi semalam.

Bagaimanapun, siasatan mendapati tiada sebarang kimia dikeluarkan kerana air itu hanyalah air lumut yang dibasuh dari tangki di dalam salah sebuah kilang di kawasan itu.

Disiarkan pada: June 28, 2019 @ 6:00am
d