utama

[UPDATE] Suspek bebas dengan jaminan polis

Oleh Hasbi Sidek

SUSPEK utama yang juga individu rapat dengan penerbit drama terkenal, Datuk A Aida yang dikaitkan dengan kes kehilangan wang pelaburan lebih RM200,000 miliknya pada 1 Mac lalu ditahan polis 24 Jun lalu, namun sudah sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

Lelaki yang berusia 30 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) ketika hadir memberikan keterangan berhubung kes yang dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, pihaknya turut merampas satu unit telefon bimbit suspek bagi membantu siasatan.

“Tangkapan ke atas suspek dibuat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Ampang ketika dia hadir memberi keterangan berhubung kes yang dilaporkan.

“Sebuah telefon bimbit milik suspek juga di rampas. Bagaimanapun, suspek dibebaskan dengan jamin polis selepas keterangan percakapan diambil dan rampasan dibuat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan A Aida enggan mengulas mengenai kes kehilangan wang pelaburan lebih RM200,000 miliknya pada 1 Mac lalu membabitkan bekas suaminya, Ariff Aziz.

Aida, 49, dilaporkan berkata, dia menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan.

“Biarlah polis buat kerja mereka. Saya tak nak mengganggu siasatan. Cukup saya katakan, individu itu adalah yang pernah dekat dengan saya sebelum ini,” katanya.

Aida berkata, individu terbabit membuat dua kali transaksi pada jam 5.44 pagi dan 5.46 pagi di rumahnya di Ukay Perdana, Ampang.

Menurut Aida, dia mendapat tahu mengenai perkara itu pada 25 Mac lalu ketika bercuti di Mesir.

“Sebaik pulang ke tanah air, saya terus buat pemeriksaan dan mendapati terdapat dua kali transaksi ke satu akaun. Saya pelik kerana transaksi dibuat pada waktu subuh. Tapi, saya tak kecoh lagi sebab tak nak peningkan kepala. Jadi, saya diamkan saja kerana ketika itu saya dalam proses nak failkan perceraian,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Ampang pada 21 Jun lalu.

Berita berkaitan:

  • 'Orang terdekat yang ambil' - A Aida
  • Disiarkan pada: June 28, 2019 @ 3:30pm
    d