utama

Berbuih mulut beri amaran

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Nurul Hidayah

KUALA LUMPUR: Berbuih mulut beri amaran! Malah, notis peringatan sudah dihantar pada April lalu kepada artis dan selebriti tanah air berhubung tanggungjawab mendaftar dan menghantar borang cukai pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Malangnya, selepas tempoh dua bulan berlalu, sambutan diterima amat dingin berikutan hanya kira-kira 10 peratus daripada golongan ‘insan popular’ itu sudi tampil di pejabat LHDN untuk memberi kerjasama.

Walaupun LHDN sudah menubuhkan Unit Selebriti dan ruang pejabat khas bertujuan memberi layanan ‘lima bintang’ kepada golongan ini, namun ia gagal menarik perhatian golongan sasar terbabit.

Pegawai Perhubungan Awam LHDN, Masrun Maslim berkata, berdasarkan statistik dikumpul pihaknya, sambutan dalam kalangan golongan artis dan selebriti terhadap LHDN hanyalah sekitar 10 peratus berbanding anggaran kasar mencecah 3,000 selebriti wujud di negara ini.

Menurutnya, mengikut Subseksyen 2(1), Akta Cukai Pendapatan 1967, golongan artis atau selebriti termasuklah juru acara, model, pensyarah, ahli sukan, artis, chef selebriti, pendakwah dan golongan instafamous yang menggunakan kemahiran intelektual, seni, muzik, peribadi, fizikal atau wataknya untuk menjana pendapatan.

“Ia berkaitan aktiviti dengan apa-apa maksud melalui siaran langsung, media cetak, elektronik, satelit, gentian optik atau media lain, untuk filem atau pita atau untuk siaran televisyen dan radio.

“Jangan salah faham, selebriti bukan hanya merujuk kepada golongan penyanyi atau pelakon. Tafsirannya lebih luas membabitkan pelbagai kerjaya yang menyebabkan mereka dikenali,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya memuji sikap segelintir kecil artis yang memberi maklum balas positif terhadap Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) LHDN.

“Mereka ini tidak pernah mendaftar cukai, namun datang ke pejabat LHDN dan dikenakan penalti serendah 10 peratus saja.

“PKPS untuk semua pembayar cukai ini membabitkan dua fasa. Fasa pertama akan tamat pada 30 Jun ini (esok) dengan kadar penalti hanya 10 peratus dikenakan. Fasa kedua pula bermula 1 Julai dan akan berakhir pada 30 September depan dengan penalti 15 peratus saja,” katanya.

Menurutnya, ramai golongan selebriti ini didapati mengambil sikap tunggu dan lihat.

“Mungkin mereka menunggu hingga saat akhir sebelum menyerbu pejabat LHDN. Bagaimanapun, LHDN tetap akan memberikan layanan terbaik dan penerangan jelas kepada golongan selebriti ini.

“Mereka tidak perlu cemas kerana terdapat perbelanjaan yang dibenarkan untuk penolakan pendapatan antaranya sewaan pakaian, khidmat pembantu dan pengurus peribadi, bayaran pengurusan kepada syarikat produksi, penari latar, alatan solek, jurusolek, belanja perjalanan ke lokasi dan pemuzik iringan,” katanya.

Pada 27 April lalu, Harian Metro mendedahkan lebih 30 artis muda popular atau dikenali ‘Budak Baru Nak ‘UP’ (BBNU) yang menikmati pendapatan ratusan ribu ringgit diletakkan di bawah radar LHDN selepas didapati gagal mendaftar sebagai pembayar cukai.

Difahamkan, artis muda yang kebanyakannya menjadi ikon remaja itu meraih populariti mendadak selain mampu memperolehi pendapatan lumayan sehingga lima angka sebulan hasil persembahan, jemputan stesen televisyen, penajaan syarikat korporat atau hadiah program realiti disertai.

Malah, ada antaranya berbangga dengan lantikan sebagai duta produk, kereta mewah, perniagaan dalam talian serta aset dimiliki melalui perkongsian dengan peminat di media sosial.

Menurutnya, wujud aplikasi e-Filing yang membolehkan pembayar cukai membuat pengisian dan menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dan borang anggaran secara dalam talian.

Disiarkan pada: June 29, 2019 @ 6:00am
d