utama

Terharu atas ingatan 'Iron Man'

Oleh Norhayati Nordin

Selepas ramai ‘gila’ dengan Avengers: Endgame pada April lalu, kali ini seluruh dunia ternanti-nanti satu lagi filem terbaharu keluaran Marvel iaitu Spider-Man: Far From Home.

Bermula 3 Julai ini, penonton di Malaysia tentunya tidak mahu ketinggalan menyaksikan aksi hebat dan menarik dipersembahkan adiwira ‘labah-labah’ lakonan Tom Holland, 23. pujaan mereka dalam, Spider - Man: Far From Home.

Pembabitan Tom sebagai Spider-Man dan Peter Parker mula diketengahkan pada 2016 menerusi filem Captain America: Civil War. Ini diikuti dengan filem Spider-Man: Homecoming pada 2017 yang ketika itu mendapat bimbingan mentornya, Tony Stark lakonan Robert Downey Jr.

Sehingga kini, Tom yang mula aktif dalam karier seni lakon di Hollywood sejak 2008 sudah membintangi lima filem siri Marvel.

Bagaimanapun, diakui satu cabaran besar buatnya untuk memastikan Spider-Man: Far From Home mampu mencapai kutipan pecah panggung selepas fenomena dicetuskan Avengers: Endgame.

Walaupun mengharapkan ‘magis’, apa yang menarik bagi Tom apabila dia yang masih hijau pengalaman di Holywood kini mampu menjalin hubungan persahabatan rapat dengan Robert Downey Jr, yang juga pelakon ternama kesukaan ramai.

Pelakon kelahiran Britain itu dalam satu temu bual berkata, dia tidak menyangka Robert masih mahu memantau dan memberi perhatian kepada perjalanan karier lakonannya.

“Saya fikir persahabatan dengannya (Robert) sudah berakhir selepas Avengers: Endgame. Saya seperti tidak percaya dia sanggup menghubungi saya pada jam 2 pagi di London.

“Pada waktu awal pagi begitu, saya tidak terfikir langsung mahu menjawab panggilan itu, apatah lagi menyemak siapa pemanggilnya,” katanya.

Menurutnya, dia berasakan sering ‘diselamatkan’ Robert yang sanggup menghubungi dan ingat kepadanya.

Tom berkata, dia juga menyesal kerana tidak peka pada panggilan telefon diterima.

“Ketika bangun pada waktu paginya dan memeriksa mel suara, saya terkejut mendengar pesanan panggilan Robert yang memberitahu dia tidak bermaksud mengganggu tidur saya. Jujur diakui, saya sangat sukakannya. Ya Tuhan, saya sangat menyesal kerana tidak mengendahkan panggilan pada awal pagi itu. Saya memang tidak menduga Robert yang menelefon.

“Ditambah pula, perbezaan masa antara Los Angeles dan London yang ketara. Jadi, mana mungkin saya boleh terfikir pelakon tersohor seperti Robert begitu memberi perhatian kepada saya,” katanya.

Mengakui ia hari paling tertekan dalam hidupnya, Tom berkata, mungkin dia terlalu memikirkan hubungan persahabatannya dengan Robert yang dianggap sudah lama berakhir.

Menurut Tom, Robert yang sinonim dengan watak Iron Man itu turut meminta dia menghubungi semula secara video.

Tom berkata, dia tidak melepaskan peluang menghubungi segera Robert untuk memohon maaf.

Katanya, dia lega apabila Robert tenang menjawab panggilan dan tidak terasa hati dengan perbuatan itu. Dia gembira dapat berkongsi ba­nyak perkara berkaitan karier lakonan dengan Robert.

SUDAH BERI LAKONAN TERBAIK

Walaupun berdebar menunggu sambutan penonton terhadap Spider-Man: Far From Home, Tom tegas beranggapan ia naskhah terbaik yang sudah dilakonkannya dengan mantap.

Jika Spider-Man: Homecoming yang ditayangkan pada 2017 berjaya mencatat kutipan pecah panggung lebih AS$880 juta, tidak mustahil Spider-Man: Far From Home menandingi pencapaian itu.

Tom berkata, berdasarkan ulasan dibuat selepas pratonton tayangan perdana beberapa hari lalu, maklum balasnya sangat baik dan positif. Tidak terkecuali, ada juga yang mengkritik.

“Untuk saya, apa yang boleh dikata sudah semestinya watak Spider-Man iaitu Peter Parker sudah saya laksanakan dengan sebaik-baiknya mengikut kehendak jalan cerita.

“Saya juga banyak berbincang dengan pengarah, Jon Watts termasuk pelakon lain supaya masing-masing saling bekerjasama untuk menjayakan watak dimainkan dengan baik.

“Saya juga selesa berlakon di samping Jake Gyllenhaal yang boleh disifatkan sebagai rakan pelakon berpengalaman yang tidak lokek ilmu membantu,” katanya.

Mengulas juga mengenai hubungan mesra dengan pelakon Zendaya yang membintangi filem sama, Tom berkata, mereka selesa berkawan baik dan rapat kerana memiliki pandangan sama.

“Kami bukan pasangan bercinta. Saya suka dan selesa berkawan dengannya kerana dia seorang yang ramah, mudah mesra serta senang didekati. Zendaya tak sombong,” katanya.

Selain Tom, Jake dan Zendaya, filem Spider-Man: Far From Home turut dibintangi Michael Keaton, Jon Favreau, Marisa Tomei, Cobie Smulders dan Samuel L Jackson.

Disiarkan pada: June 29, 2019 @ 6:00am
d