utama

Bukit Aman bagi amaran [METROTV]

Oleh Skuad Khas Harian Metro

KUALA LANGAT: Selepas pendedahan eksklusif Harian Metro mengenai dakwaan wujud unsur gengsterisme dalam industri pengimportan skrap atau sisa plastik, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, semalam, menggerakkan Ops Simbah dengan menyerbu beberapa kilang di daerah ini.

Serbuan bersepadu itu membabitkan 70 anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (D3) dan Bahagian Siasatan Jenayah Terancang (D14).

Penolong Pengarah (D7) Pencegahan Kongsi Gelap JSJ Bukit Aman Asisten Komisioner Azmi Abdul Rahim berkata, operasi terbabit dijalankan bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab menggunakan khidmat gengster bagi melindungi kegiatan mereka daripada dihidu pihak berkuasa.

Beliau berkata, polis tidak akan memberi muka kepada mana-mana pihak yang menggunakan gengster sehingga mendatangkan ketakutan kepada masyarakat yang mahu melaporkan kegiatan haram kepada pihak berkuasa.

“Ada kilang sama ada yang berlesen atau haram menggunakan khidmat gengster sehingga ada badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai takut untuk laporkan kepada pihak berkuasa.

“Saya bagi amaran kepada pengilang supaya tidak gunakan gengster kerana anda tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang seperti yang diarahkan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador dan kepimpinan tertinggi PDRM,” katanya ketika ditemui selepas operasi.

Dalam operasi berkenaan hampir 300 pekerja asing membabitkan negara dari Bangladesh, Myanmar, Nepal dan China diperiksa.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, polis juga sedang giat mengumpul maklumat dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kes simbahan cat merah di sebuah rumah di daerah ini Rabu lalu.

“Polis beri amaran supaya dua lelaki ini menyerah diri secepat mungkin kerana polis giat memburu mereka.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mereka yang cuba menakutkan masyarakat untuk laporkan kegiatan haram pihak berkuasa. Undang-undang tidak mengenal siapa dan mereka yang bersalah akan dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.

Dalam laporan Harian Metro semalam, Abdul Hamid memberi amaran kepada pihak yang menggunakan gengsterism bagi menakutkan NGO dan masyarakat.

Disiarkan pada: June 29, 2019 @ 6:30am
d