utama

Perginya Muhammad Azfar Qayyum

Oleh Safuri Kamarudin

KANAK-kanak berusia enam tahun meninggal dunia di Hospital Baling hari ini.

Difahamkan mangsa Muhammad Azfar Qayyum Md Said bermain bersama bapa saudaranya di rumahnya di Kampung Bandar, Mukim Siong, Baling semalam.

Bagaimanapun pada tengah hari ini mangsa tidak sedarkan diri sebelum bapanya membawa kanak-kanak itu ke hospital.

Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Abd Fatah Abd Rahman berkata, mangsa sebelum itu bermain dan bergurau dengan bapa saudaranya berusia 16 tahun yang dikategorikan ‘Sindrom Down’ di rumah mangsa 7.30 malam semalam.

“Keluarga mangsa memberitahu pada 7.30 malam Muhammad Azfar bermain ‘tumbuk-tumbuk’ dengan bapa saudaranya yang dikenali dengan panggilan Mi di bilik.

“Melihatkan keadaan itu, kedua-duanya ditegur daripada bermain sebegitu menyebabkan mereka berhenti sebelum menyambung semula,” katanya hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan percakapan ibu dan bapa mangsa, anak mereka berada dalam keadaan sihat meskipun terdapat kesan lebam pada muka pagi ini.

“Ibu mangsa kemudian keluar bekerja sehinggalah dimaklumkan suaminya anak mereka tiba-tiba tidak sedar diri 12 tengah hari.

“Muhammad Azfar kemudian dikejarkan ke Hospital Baling sebelum disahkan meninggal dunia 2.15 petang,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan lebam di bahagian kepala dan badan mangsa.

“Berikutan itu polis menahan bapa saudara mangsa untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya.

Usaha Harian Metro untuk mendapatkan keluarga mangsa tidak berjaya kerana mereka enggan ditemu bual.

Disiarkan pada: June 29, 2019 @ 9:53pm
d