utama

Pitbull baham muka

Oleh Ibrahim Isa

“KETIKA kejadian saya berada di Ipoh, Perak kerana bekerja. Hanya isteri yang ada bersama anak,” kata individu yang hanya mahu dikenali sebagai Eng.

Eng adalah bapa kepada kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang digigit anjing jenis Pitbull dalam kejadian di Taman Makmur, Endau, Mersing, Johor Khamis lalu.

Menurut Eng, pada hari kejadian, anaknya bermain bersama anak jiran di kawasan perumahan berkenaan.

“Sebelum ini, saya memang tahu jiran ibu mentua ada membela anjing tapi saya tidak tahu ia jenis Pitbull yang diharamkan di negara ini.

“Ketika anak leka bermain bersama rakan-rakan, tiba-tiba rantai yang digunakan untuk mengikat anjing putus.

“Disebabkan anak saya individu paling dekat dengan haiwan itu, anjing terbabit menyerangnya di bahagian muka,” katanya ditemui di Pusat Perubatan Sunway, semalam.

Eng berkata, anaknya dibawa ke Hospital Rompin sebelum dirujuk ke Hospital di Kuantan, Pahang.

Selepas perbincangan dengan ahli keluarga, Eng membawa anak sulungnya itu ke hospital pakar bagi mendapatkan rawatan.

“Anak saya sudah menjalani pembedahan penstrukturan semula semalam (kelmarin) bagi menstabilkan kembali wajahnya.

“Dia ada minta untuk melihat wajahnya tetapi saya dan isteri tidak benarkan kerana bimbang dia tidak boleh terima,” katanya.

Eng berkata, selepas insiden ini, dia berharap pihak berkuasa lebih peka terhadap individu yang sewenang-wenangnya membela anjing Pitbull yang diharamkan di Malaysia.

“Kita semua tahu anjing ini sangat bahaya dan kerana itu ia diharamkan namun masih ada yang membelanya tanpa lesen dan permit. Perkara ini perlu diambil berat supaya tidak berlaku kepada orang lain,” katanya.

Berita berkaitan

JPV siasat kes anjing

Parah muka digigit anjing jiran

Disiarkan pada: June 30, 2019 @ 8:04am
d