utama

[UPDATE] Alhamdulillah, bapa Zahid AF2 sudah ditemui

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

“ASSALAMUALAIKUM. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi. Berita terkini ayah saya sudah dijumpai di Gerik jam 10.30 malam tadi.

“Terima kasih atas bantuan orang di Gerik yang memberi maklumat mengenai papa saya,” kata juara Akademi Fantasia 2, Zahid Baharudin berkenaan penemuan bapanya sebentar tadi.

Zahid hari ini meminta bantuan masyarakat untuk mengesan bapanya, Baharudin Md Arif yang keluar dari rumah sejak jam 11.15 pagi dan tidak pulang sehingga dimaklumkan penemuannya tadi.

Baharudin menaiki kereta jenis Preve Silver bernombor plat DCS 6092, mempunyai masalah kesihatan dan masih bergantung dengan ubat serta hilang ingatan selepas terkena angin ahmar ringan tahun lepas.

Zahid mengucapkan terima kasih kepada individu bernama Rohaida Mohd Noor dan keluarga kerana membantunya.

“Papa sekarang berada di Balai Polis Gerik untuk siasatan lanjut kerana berlaku sedikit kemalangan.

“Ini disebabkan penglihatannya terhad pada waktu malam.

“Terima kasih kepada semua yang membantu berkongsi hantaran media sosial saya dan

juga yang berdoa untuk papa saya,” katanya.

Dia juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada pihak media massa yang membantu pencarian bapanya.

“Terima kasih saudara mara di Teluk Intan yang bertungkus lumus mencari papa sehingga jumpa.

“Terima kasih juga pihak PDRM yang membantu. Semoga Allah SWT membalas jasa kalian semua. Syukur ya Allah.

“Memang saya tidak senang duduk sepanjang hari ini. Syukur sangat,” katanya.

Menurut Zahid, sebelum ini bapanya pernah sesat hingga ke Lumut dan mereka melarangnya keluar selepas itu.

“Tidak tahulah kenapa hari ini dia beranikan diri ambil kunci tanpa pengetahuan emak.

“Saya pula berada di Kuala Lumpur kerana ada program berkaitan seni.

“Jarak yang ditempuh oleh papa lebih 200 kilometer dan memang boleh dikatakan jauh,” katanya

Disiarkan pada: June 30, 2019 @ 11:46pm
d