utama

Unit Berkuda cegah jenayah

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

PUTRAJAYA: Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah satu elemen pencegahan jenayah paling penting yang digunakan pasukan itu khususnya di kawasan pedalaman.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata, penggunaan unit berkuda berkenaan turut membabitkan kawasan yang tidak dapat dihampiri dengan mobiliti yang ada pasukan itu.

“Kuda ini daripada sudut PDRM satu elemen pencegahan jenayah paling penting, khusus di kawasan pedalaman dan di mana mobiliti kami yang lain tidak dapat menghampiri.

“Ini satu cabang daripada elemen pencegahan jenayah yang sering digunakan jabatan kita,” katanya pada sidang media Majlis Penutup Kejohanan Kuda Lasak Piala Ketua Polis Negara Tahun 2019 sempena peringatan Hari Polis ke-212 di Taman Ekuestrian di sini, semalam.

Terdahulu, sebanyak dua kategori dipertandingkan pada kejohanan itu iaitu membabitkan 40 kilometer (km) dan 80km dengan 31 peserta daripada PDRM dan 40 peserta daripada kelab kuda tempatan serta luar negara.

Dalam pada itu, Pegawai Pemerintah Unit Berkuda PDRM, Deputi Superintendan Nurhidayah Damanhoori berkata, rondaan mencegah jenayah melalui unit berkuda itu menerusi Program Community Policing termasuk di kawasan panas atau hotspot serta perumahan yang memerlukan untuk melalui jalan dan lorong kecil.

“Kelebihan rondaan menggunakan kuda ini ialah ia lebih tinggi jadi mudah untuk mengesan jenayah seperti pecah rumah. Untuk rondaan memerlukan enam kuda dan dipecah ke tiga kawasan.

“Selain itu, kawasan hotspot ini ialah Serdang, Shah Alam, Cyberjaya, Cheras dan Kajang selain sekitar Kuala Lumpur (kawasan kedutaan),” katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2019 @ 6:00am
d