utama

Teroka bisnes - Zara Zya

Oleh Najiy Jefri

SELEPAS percubaan demi percubaan dilakukan akhirnya pelakon Zara Zya berjaya menemui jalan terbaik untuk mengintai peluang dalam dunia perniagaan. Siapa sangka, berkat kesabaran yang tinggi serta tidak mengenal erti putus asa, Zara terus bangkit mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya hasil duit lakonan yang dikumpul selama ini.

Terbaru, Zara melancarkan produk pelangsingan badan yang diasaskan olehnya. Lebih menarik, syarikat miliknya, Thrillion Up Sdn Bhd menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kanaz Co LTD dalam usaha mengembangkan produk berkenaan ke pasaran luar negara khususnya ke Jepun.

“Saya suka mencuba dan memang minat berniaga sejak di bangku sekolah lagi. Macam-macam produk sudah saya keluarkan hingga ada yang mengalami kerugian teruk.

“Dugaan ini kadangkala membuatkan saya berasa tertekan. Mana tidaknya, segala yang diusahakan tidak membuahkan hasil, sementelah saya mempunyai komitmen yang tinggi untuk diri sendiri dan pekerja yang perlu dibayar.

“Saya juga terfikir duit yang dikumpul hasil penat lelah kerja siang dan malam di set penggambaran tidak mendapat keuntungan apabila dijadikan modal berniaga. Buntu dan hilang akal dibuatnya.

“Namun, segala dugaan ini saya anggap asam garam dunia perniagaan. Bagi saya, rezeki Allah itu walaupun lambat tetapi ada untuk hamba-Nya,” katanya.

Tambah Zara, orang sekeliling banyak memberikan sokongan dan kata-kata semangat untuk dia terus berjaya.

“Saya selalu minta pandangan kawan-kawan rapat dan mereka yakin saya akan berjaya nanti. Kalau mereka percaya dengan diri saya, mengapa saya perlu lemah dan mengalah. Jadi, saya teruskan apa yang saya lakukan dan Alhamdulillah kini berjaya mengeluarkan produk pelangsingan badan dan membuka restoran Suka Makan di Mutiara Damansara, baru-baru ini,” katanya.

KALIS KECAMAN

Sama seperti anak seni lain, pelakon berusia 33 tahun itu tidak terlepas menerima kecaman dan hinaan. Namun begitu, kejayaan yang diraih ini secara tidak langsung diharap dapat menutup mulut jahat yang memfitnahnya.

“Dugaan dan cabaran dalam perniagaan memang sudah jadi adat. Saya masih ingat lagi apabila ada yang memfitnah perniagaan yang saya usahakan ini adalah hasil duit haram dan macam-macam lagi.

“Padahal untuk sampai ke tahap ini bukan satu perjalanan yang mudah. Saya harap orang yang mengata itu nampak segala usaha yang saya buat hari ini.

“Saya tidak akan jatuh dengan kritikan mereka, sebaliknya saya akan buktikan diri ini mampu berjaya,” katanya.

Beralih karier lakonan, Zara gembira apabila drama lakonannya, Pia yang ditayangkan di TV3 Ramadan lalu mendapat sambutan hangat. Walaupun ramai memuji lakonan Alif Satar dan Naim Daniel yang dikatakan lebih menonjol daripadanya, Zara tidak berjauh hati.

“Memang betul lakonan Naim dan Alif menonjol kerana mereka tidak pernah dapat watak sebegitu. Saya sudah biasa buat. Walaupun tajuk Pia itu ialah watak saya, penonton lebih nampak Naim dan Alif. Saya okey sahaja kerana sampai sekarang orang masih memanggil saya Pia.

“Bagi saya, walaupun watak Pia klise tetapi jalan cerita drama ini berbeza dan pengarah cuba menukar karakter saya supaya ada kelainan,” katanya.

MAHU KAHWIN TAHUN DEPAN

Menyentuh perkembangan hubungannya dengan pelakon Hafreez Adam, Zara berkata, impian mereka untuk melangkah ke jenjang pelamin tahun ini tidak kesampaian memandangkan masing-masing terikat dengan komitmen kerja. Bagaimanapun, pasangan romantik itu akan menunda agenda itu ke tahun depan dan berharap segala perancangan itu dipermudahkan.

“Kalau diikutkan memang kami merancang bernikah tahun ini tetapi masing-masing sibuk dengan kerja. Bagaimanapun, baru-baru ini Hafreez ada bertemu dengan keluarga saya untuk membincangkan beberapa perkara termasuklah majlis merisik.

“Memandangkan tak jadi kahwin tahun ini, kami tak mahu terburu-buru memilih tarikh baru kerana soal nikah kahwin kena ada perancangan teliti. Persiapan pun kena rapi. Jadi, kalau ada tarikh nanti saya akan maklumkan kemudian,” katanya.

Disiarkan pada: July 2, 2019 @ 5:30am
d