utama

Setianya Messi...

Oleh Alias Abd Rani

SEAKAN-AKAN mengerti insan memeliharanya sudah tiada, seekor kucing diberi nama 'Messi' melarikan diri ke dapur untuk menunjukkan kesedihan terhadap pemergian tuannya itu, baru-baru ini.

Messi dibela Allahyarham Md Jais Jaapar dan isteri, Melah Kushimohud sejak 13 tahun lalu itu sebelum lelaki terbabit meninggal dunia akibat kanser prostat hujung bulan lalu di rumahnya di Masjid Tanah, Melaka.

Beberapa jam selepas 'melarikan diri' dan ‘merajuk’, Messi kemudian kembali ke bilik lalu berbaring di tepi jenazah dalam keadaan wajah penuh sayu dan sedih.

Menceritakan kejadian itu, anak saudara arwah, Nur Iylia Malek, 27, berkata, Messi sangat rapat dengan tuannya sejak kecil hingga sekarang.

“Selepas itu, Messi kemudian datang lalu baring di sebelah arwah. Kami pada ketika itu cukup tersentuh,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Nur Iyalia sebelum itu memuat naik ciapan menerusi akaun Twitter miliknya memaklumkan kucing peliharaan arwah bapa saudaranya tidak berganjak dari sisi jenazah.

Haiwan terbabit tidak makan dan setia menunggu di tepi katil dalam keadaan muram seperti sedang mencari sesuatu yang hilang.

Dua hari selepas pemergian tuannya, haiwan terbabit masih tidak mahu makan walaupun disediakan makanan.

Lebih 12,000 orang membalas ciapan dan masing-masing turut menzahirkan kesedihan ke atas apa dialami Messi.

Menurutnya, Messi dijaga bersama adik beradik lain tetapi hanya haiwan itu masih hidup.

“Messi cuba menyorok dengan hanya memandang sofa sedangkan dia tidak sebegitu sebelum ini. Messi memang menjaga rumah sejak dulu lagi dan rapat dengan arwah berbanding dengan ibu saudara saya.

“Sekarang, Messi seperti mencari-cari memandangkan sebelum ini arwah selalu memberinya makanan. Sebelum ke masjid, Messi akan tahu arwah akan memberinya makan.

“Apa yang menariknya ialah Messi ini bersifat cemburu. Apabila kucing lain datang rumah dia marah, tetapi jika anak kucing datang, dia OK,” katanya.

Disiarkan pada: July 2, 2019 @ 9:21pm
d