utama

Kanser ragut nyawa 2 anak

Oleh Ahmad Ismail

DUA anak kandungnya menemui ajal akibat penyakit kanser namun ibu tabah, Junidah Abd Hamid, 46, terus cekal menerima dugaan berat itu.

Kini, seorang lagi anaknya, Abdul Azim Mohd Rozahar, 14, hanya mampu terlantar sakit akibat kanser sendi paha kanan di kediaman mereka terletak di Perumahan Awam Fasa 3, Bukit Siput di sini.

Junidah berkata, sebelum ini, anak sulungnya, Allahyarham Mohd Aidil Quaiyum meninggal dunia ketika berusia tujuh tahun akibat barah otak pada tahun 2003.

Menurutnya, episod sedih hidupnya berterusan apabila anak kedua, Allahyarham Mohd Muzakir meninggal dunia akibat barah di bahagian dagu ketika berusia lima tahun, setahun berikutnya.

“Saya dan suami, Mohd Rozahar Abd Latiff, 48, reda dengan ketentuan Ilahi terutama dugaan menimpa anak dan keluarga,” katanya.

Semalam, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris mencemar duli melawat Abdul Azim kira-kira jam 11.15 pagi.

Turut hadir, Pegawai Daerah Segamat, Abdul Rahman Salleh, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat, Pengarah Hospital Segamat, Dr Mokhtar Ahmad dan Pegawai Kesihatan Segamat, Dr Zaid Ahmad

Raja Zarith Sofiah sempat meluangkan masa dan memberikan kata-kata semangat, beramah mesra, selain memberikan pelbagai sumbangan sebelum berangkat pulang sejam kemudiannya.

Junidah berkata, dia amat berbesar hati dan berterima kasih kepada Permaisuri Johor yang sudi datang ke kediamannya memberikan pelbagai suntikan semangat dan sumbangan kepada anak keempat daripada lima anaknya itu.

“Amat terserlah sifat keibuan yang tinggi terpancar di wajah ke bawah Duli Yang Maha Mulia (DYMM), Permaisuri Johor.

“Kata-kata perangsang diberikan Permaisuri Johor itu sekelip mata memberikan senyuman pada Abdul Azim yang menjadi pendiam sejak dikesan menghidap penyakit barah sendi paha kanan, sembilan bulan lalu,” katanya.

Menurutnya, barah tulang paha itu dikesan pada Oktober tahun lalu dan sejak itu anaknya menjalani sekurang-kurangnya tujuh kali rawatan kemoterapi menyebabkan berlaku keguguran rambut dan bulu kening.

“Kami terpaksa berulang-alik ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sekurang-kurangnya sekali sebulan dan memerlukan kos perbelanjaan RM1,000 bagi setiap sesi rawatan termasuk kos kenderaan.

“Kami terpaksa berjimat kerana suami hanya bekerja sebagai pemandu lori,” katanya berkongsi kisah kehidupan keluarganya itu.

Katanya, anaknya dalam proses mendapatkan bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Abdul Azim pelajar tingkatan dua turut tidak bersekolah sejak itu kerana terpaksa bertongkat untuk bergerak dan berasa sakit pada waktu tertentu,” katanya.

Menurutnya, Abdul Azim dijadualkan menjalani pembedahan memasukkan besi pada bahagian pahanya itu pada 8 Julai di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan.

“Kami turut dimaklumkan sekurang-kurangnya tempoh sebulan bagi mendapatkan rawatan di HUSM kelak. Dua lagi anak lelaki, Mohamad, 10, dan Ahmad Izarulnaim, 18, bagaimanapun mampu menguruskan aktiviti harian,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, dia berusaha membantu membawa Abdul Azim dan ibunya, Junidah menerusi penerbangan komersial dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa Sabtu ini.

Disiarkan pada: July 3, 2019 @ 6:00am
d